Piala Dunia: Malaysia ‘libas’ Perancis

Piala Dunia: Malaysia ‘libas’ Perancis


Skuad takraw negara yang berjuang di Piala Dunia di Bihar. Foto PSM

MALAYSIA memulakan aksi pertama Kumpulan B acara kuadran Kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw 2025 dengan langkah kanan selepas menewaskan Perancis 2-0 di Bihar, India hari ini.

Skuad negara yang dibarisi Muhammad Shahalril Aiman Halim, Amirul Zazwan Amir, Norfaizzul Abd Razak dan Muhammad Fetri Mohd Azwadi tidak berdepan masalah untuk memenangi set pertama 15-6 pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Tertutup Patliputra.

Pada set kedua, Malaysia membuat dua pertukaran dengan kemasukan Aidil Aiman Azwawi dan Muhammad Noraizat Mohd Nordin sebelum menundukkan gandingan Perancis 15-7.

Skuad negara dijadual beraksi pada perlawanan kedua Kumpulan B menentang Myanmar yang turut diadakan petang ini.

Sebelum ini, Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) meletakkan sasaran realistik buat acara kuadran iaitu ke pentas akhir.- Bernama

Artikel Disyorkan



Source link

OR