Skuad sepak takraw lelaki negara tersingkir dari Piala Dunia Sepak Takraw 2025 selepas tewas kepada Vietnam. Foto Persatuan Sepaktakraw Malaysia
IMPIAN skuad sepak takraw lelaki Malaysia untuk melangkah lebih jauh dalam acara kuadran Kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw 2025 tidak kesampaian selepas gagal melepasi peringkat Kumpulan B apabila kalah di tangan Vietnam di Bihar, India pada Jumaat.
Pada aksi yang berlangsung di Stadium Tertutup Patliputra, pemain negara, Muhammad Shahalril Aiman Halim, Amirul Zazwan Amir, Norfaizzul Abd Razak, Muhammad Fetri Mohd Azwadi, Aidil Aiman Azwawi dan Muhammad Noraizat Mohd Nordin mencatatkan kekalahan pertama mereka di peringkat kumpulan dengan keputusan 0-2 (12-15, 5-15).
Menerusi perkiraan set dan mata dalam perlawanan hari ini, Malaysia berada di tempat ketiga dalam Kumpulan B sekali gus terlepas tiket ke suku akhir.
Semalam skuad negara meraih dua kemenangan iaitu ke atas Perancis (2-0) dan Myanmar (2-1).
Sementara itu, pasukan kuadran wanita negara mencipta kejutan mara ke separuh akhir selepas muncul juara Kumpulan B dengan menewaskan India 2-1 (17-15,15-10,15-7).
Malaysia akan membuat perhitungan menentang Vietnam di separuh akhir petang ini. – Bernama