Skuad B-23 Perak FC, antara yang mengalas cabaran dalam saingan Piala MFL musim ini. Foto: Perak Football Club. Gambar kecil: Mohd Firdaus
EDISI ke-103 Piala Emas Raja-Raja bakal berwajah baharu apabila kejohanan ikonik itu diangkat sebagai platform utama pembangunan pemain bawah 23 tahun (B-23) susulan kekosongan ruang kompetitif ditinggalkan berikutan pembubaran Piala Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dan pengunduran beberapa pasukan dari saingan Liga Super.
Menurut Presiden Persatuan Bolasepak Melayu Malaysia (PBMM), Mohd Firdaus Mohamed, langkah strategik ini digerakkan bertujuan menyuntik nafas baharu dalam kejohanan berprestij berusia lebih 100 tahun itu, dengan menstruktur semula format pertandingan agar memberi penekanan kepada penyertaan pemain muda dari seluruh negara.
Jelas Mohd Firdaus, penekanan kepada pemain B-23 bukan sahaja bertujuan memastikan kesinambungan pembangunan akar umbi, tetapi juga membuka peluang kepada bakat-bakat muda yang kini kehilangan pentas kompetitif di peringkat nasional.
“Piala Emas Raja-Raja akan menjadi pentas utama pembangunan dan pendedahan pemain B-23, seiring dengan misi kami memastikan kesinambungan bakat tempatan terus berkembang walaupun liga profesional berdepan ketidaktentuan,” katanya.
Sebagai bekas Naib Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Mohd Firdaus melihat peranan PBMM kini lebih kritikal untuk merapatkan jurang pembangunan akar umbi menerusi kejohanan yang sarat sejarah ini.
“Kami mahu Piala Emas Raja-Raja bukan sekadar pertandingan tradisi, tetapi juga sebagai ‘ladang bakat’ yang subur untuk melahirkan pemain masa depan negara untuk Harimau Malaya,” tegasnya.