September 8, 2024

Piala FA: Kuching City tidak boleh buat kesilapan mudah

Piala FA: Kuching City tidak boleh buat kesilapan mudah


KUALA LUMPUR – Penjaga gol Kuching City FC, Shahril Sa’ari mengakui peranannya di hadapan gawang amat penting terutamanya pada waktu kritikal untuk menentang Selangor FC pada aksi suku akhir kedua Piala FA, Sabtu ini.

Mengakui gol pertama yang diperoleh Selangor pada suku akhir pertama tempoh hari adalah kerana kesilapannya, Shahril enggan mengulangi perkara sama dan lebih berhati-hati dalam memastikan gawang tidak lagi dibolosi dalam perlawanan seterusnya.

Bagi penjaga gol berusia 34 tahun itu, aksi suku akhir kedua pastinya lebih sukar melihat kepada semangat juang daripada anak buah Nidzam Jamil yang ingin kembali bangkit di hadapan penyokong mereka pula.

Apa yang pasti, dia sedar tugas cukup penting digalas seluruh pasukan untuk tidak melakukan kesilapan-kesilapan mudah terutamanya pada waktu kritikal yang boleh membuka ruang kepada lawan menjaringkan gol.

“Kita tahu Selangor merupakan pasukan yang kuat lebih-lebih lagi beraksi di laman sendiri dan ini bukan perlawanan yang mudah untuk kita.

“Sejujurnya, apa yang boleh kita buat adalah mengelakkan kesilapan mudah di hadapan gawang sebab saya boleh katakan Selangor mempunyai barisan penyerang yang sangat merbahaya.

“Jadi, kalau mereka nampak sedikit ruang daripada kita, memang susah dan sebab itu pasukan harus lebih waspada untuk elak kesilapan sama berulang”, jelasnya kepada Liga Bolasepak Malaysia di sini.

Meskipun Kuching City memiliki kelebihan satu gol apabila bertandang ke Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Shahril percaya laluan mereka untuk ke separuh akhir tidak mudah yang mana Selangor gemar melakukan kejutan pada minit-minit akhir perlawanan.

“Bagi saya, selagi kita boleh bertahan, kita kena bertahan dan apa sahaja yang datang walaupun dah minit akhir, kalau kita berdisiplin, InsyaAllah semuanya akan baik.

“Sesi latihan sekarang pun ada sedikit perubahan daripada jurulatih (Aidil Shahrin Sahak), tetapi beliau amat tekankan kepada keseluruhan pasukan, bukan individu”, tambahnya.

Kuching City berjaya menewaskan Selangor dengan keputusan 2-1 pada aksi suku akhir pertama Piala FA pada minggu lalu. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top