Piala Jubli Perak DYTM Sultan Selangor guna format Piala Dunia

Piala Jubli Perak DYTM Sultan Selangor guna format Piala Dunia


PIALA Jubli Perak DYTM Sultan Selangor Bawah 15 Tahun tampil dengan pembaharuan apabila menggunakan format 48 pasukan seperti kejohanan Piala Dunia sekali gus membuka peluang lebih luas kepada sekolah menengah di negeri ini mengetengahkan bakat muda bola sepak.

Pengerusi Jawatankuasa Induk Kejohanan, Datuk Emran Kadir berkata, edisi kali ini bermula dengan penyertaan 251 sekolah daripada keseluruhan 284 sekolah menengah yang mewakili 10 daerah di negeri ini.

Menurut beliau, sebanyak 4,518 pemain akan beraksi pada peringkat kelayakan Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD) sebelum 48 pasukan terbaik mara ke pusingan akhir Piala Jubli Perak DYTM Sultan Selangor.

“Berbanding format 32 pasukan sebelum ini, kita memilih menggunakan format 48 pasukan selaras dengan format baharu Piala Dunia.

“Format ini memberi peluang kepada lebih banyak sekolah menghantar pemain masing-masing dan membolehkan kita mengenal pasti lebih ramai bakat terbaik untuk diketengahkan,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Mesyuarat Jawatankuasa Induk Kejohanan Bola Sepak sempena Sambutan Jubli Perak Pemerintahan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al Haj di Dewan Utama Karangkraf, Seksyen 15 di sini pada Selasa.

Beliau berkata, setiap pasukan yang layak ke pusingan akhir dibenarkan mendaftarkan 20 pemain menjadikan seramai 960 pemain akan beraksi sepanjang kejohanan yang dijadual berlangsung dari 22 September hingga 30 Oktober di Stadium MBPJ.

Menurut beliau, kejohanan itu dijangka diserikan dengan keberangkatan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada perlawanan akhir.

Dalam perkembangan sama, Emran berkata, penganjuran kali ini menerima dana sebanyak RM630,000, meningkat lebih lima kali ganda berbanding RM120,000 sebelum ini.

Katanya, peningkatan peruntukan itu membolehkan kejohanan dianjurkan secara lebih berprestij selain menawarkan hadiah wang tunai lebih lumayan kepada pasukan bertanding.

“Walaupun kos penganjuran meningkat kerana format 48 pasukan, kita percaya ia berbaloi kerana lebih ramai pemain mendapat peluang beraksi dan kita dapat mencungkil lebih banyak bakat bola sepak di peringkat sekolah,” katanya.



Source link

OR

Scroll to Top