Gaya permainan agresif adalah kunci kejayaan buat Magpies apabila berdepan juara 10 kali bimbingan Arne Slot (kiri) yang sedang memburu trofi debut musim pertama bersama The Reds.
LEGENDA Newcastle United, Chris Waddle, menyeru The Magpies kendalian Eddie Howe untuk mempamerkan aksi menyerang ketika menentang penyandang juara Liverpool dalam perlawanan akhir Piala Liga di Stadium Wembley pada awal pagi Isnin.
Beliau percaya, gaya permainan agresif adalah kunci kejayaan buat Magpies apabila berdepan juara 10 kali bimbingan Arne Slot yang sedang memburu trofi debut musim pertama bersama The Reds.
Menurut Waddle, Newcastle perlu lebih berani dan tidak beraksi secara bertahan seperti dalam beberapa perlawanan sebelum ini.
“Pasukan itu sentiasa menunjukkan prestasi terbaik apabila bermain secara menyerang, dan taktik berhati-hati sering kali memakan diri.
“Mereka harus memulakan perlawanan dengan tekanan tinggi ke atas Liverpool, dengan harapan untuk mendapatkan gol awal dan mengekalkan momentum.
“Pendekatan ini juga akan membangkitkan semangat penyokong yang sememangnya gemarkan aksi bola sepak menyerang,” katanya.
Newcastle mara ke pentas perlawanan akhir selepas menjinakkan Arsenal, 4-0 secara agregat manakala Liverpool pula membelasah Tottenham Hotspur, dengan agregat 4-1.
Waddle turut menegaskan penyokong The Magpies tidak mahu melihat pasukan mereka bermain secara bertahan di Wembley sebaliknya lebih gemar melihat aksi bola sepak yang menghiburkan biarpun berisiko.
“Sejujurnya aksi bola sepak menyerang itulah identiti sebenar Newcastle yang perlu ditampilkan berdepan Liverpool.
Saya percaya, inilah cara terbaik untuk mereka menamatkan badi dan memenangi Piala Liga,” katanya.