Pemain Sabah giat menjalani latihan sebagai persiapan berdepan Pahang dalam aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia di Temerloh pada Ahad. Foto: Sabah Football Club
SABAH FC bertekad menamatkan penantian 22 tahun untuk beraksi di pentas final Piala Malaysia apabila berdepan Sri Pahang FC pada aksi separuh akhir kedua di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh, pada Ahad.
Namun di sebalik itu, penolong pengendali The Rhinos, Alto Linus menegaskan anak buahnya tidak mempunyai banyak pilihan kecuali bekerja keras untuk menang selepas terikat 1-1 pada perlawanan pertama di Stadium Likas baru-baru ini.
Katanya, inilah merupakan masa yang sangat untuk memastikan impian seluruh rakyat Sabah melihat mereka beraksi di pentas final Piala Malaysia.
“Malam esok misi utama kita sudah semestinya untuk ke final. Sabah FC sudah lama tidak ke pentas final kali terakhir pada 22 tahun lepas,” katanya pada Sabtu.
Jelas Alto lagi, pemain The Rhinos juga seharusnya mempamerkan persembahan meyakinkan sekali gus melakukan terbaik untuk layak ke final Piala Malaysia.
“Persembahan Sabah perlu lebih baik daripada aksi separuh akhir pertama di Likas dulu, terutama di bahagian serangan selepas banyak peluang dilepaskan ketika seri menentang Pahang.
“Kita mahu siapa saja pemain yang akan diturunkan dalam perlawanan ini, mampu melakukan yang terbaik untuk pasukan serta memikul seluruh harapan rakyat Sabah,” ujar Alto.
Mengakui bakal berdepan tentangan sengit skuad Tok Gajah kendalian Fandi Ahmad, Alto tetap yakin pemain mampu mencipta kejutan biarpun beraksi di laman keramat pasukan lawan.
“Sudah semestinya harapan kita adalah untuk mendapatkan keputusan positif dalam perlawanan ini. Tetapi ini bukan tugas mudah.
“Kita juga tahu Pahang mempunyai matlamat sama dan sudah pasti mereka mempunyai rancang tersendiri untuk perlawanan ini, lebih lagi mereka bermain di tempat sendiri,” kata Alto.
PIALA MALAYSIA
AHAD (2 FEBRUARI)
Separuh Akhir Kedua
Sri Pahang (3) lwn (3) Sabah FC
(Stdm Majlis Perbandaran Temerloh, 8.30 malam)
* Dalam kurungan keputusan separuh akhir pertama
* Astro Arena Bola (803, 804) dan Astro GO