Aksi Kapten Harimau Malaya, Dominic Tan ketika berdepan Timor Leste dalam aksi Kumpulan A Piala ASEAN di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Rabu. Foto FAM
KEHADIRAN tiga pemain utama skuad negara bersama Sabah FC menjelang perlawanan suku akhir pertama menentang Kuching City dalam Derbi Borneo Piala Malaysia di Stadium Negeri, membarakan semula The Rhinos memburu keputusan positif di laman lawan, Ahad ini.
Malah, pengendali The Rhinos, Martin Stano menyifatkan kehadiran Stuart Wilkin, Dominic Tan dan Daniel Ting juga akan meningkatkan kualiti, keseimbangan serta semangat berpasukan berdepan The Cats kendalian Aidil Sharin Sahak.
Jelasnya lagi, keputusan itu merupakan perjanjian awal melibatkan Sabah FC bersama Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebelum melepaskan pemain berkenaan untuk melengkapkan tugasan bersama pasukan kebangsaan.
“Sudah tentu, kami akan sangat gembira dengan keputusan ini, lebih membanggakan apabila kapten Park Tae-soo sudah boleh beraksi pada perlawanan suku akhir pertama Piala Malaysia ini.
“Kami akan melakukan yang terbaik untuk mencapainya. Walaupun kami menang dalam perlawanan terakhir Liga Super di Kuching, kali ini ia akan menjadi permainan yang berbeza dalam Piala Malaysia,” katanya pada Jumaat.
Aksi Wilkin ketika bersama Harimau Malaya ketika berdepan Timor Leste dalam aksi Kumpulan A Piala ASEAN di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Rabu. Foto FAM
Mengulas mengenai pertembungan kedua-dua pasukan itu, Stano berkata, perlawanan suku akhir di tempat lawan serta di tempat sendiri sudah tentu memerlukan pendekatan yang sedikit berbeza.
“Suasana Piala Malaysia itu sendiri juga akan memainkan peranan penting, Sabah sudah pasti tidak akan melepaskan peluang keemasan pada kali ini.
“Ini merupakan kenangan manis apabila menjadi perlawanan pertama sebagai Ketua Jurulatih Sabah FC,” katanya.
Stano juga mengingatkan pemain-pemain Sabah agar fokus serta jangan memandang rendah keupayaan lawan walaupun menang pada perlawanan Liga Super sebelum ini.
“Untuk terus mencapai matlamat dalam setiap perlawanan Sabah FC perlu mengekalkan konsistensi, pendekatan profesional, mentaliti kemenangan di samping berfikiran positif.
“Pada masa sama, kami sangat prihatin tentang keadaan fizikal beberapa pemain yang telah mengalami kecederaan selepas bermain pada dua perlawanan untuk membantu pasukan kebangsaan,” katanya.