Piala MFL dimansuhkan, Piala Belia, Presiden jadi fokus utama

Piala MFL dimansuhkan, Piala Belia, Presiden jadi fokus utama


PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) memutuskan untuk memansuhkan Piala MFL dan memberi tumpuan sepenuhnya kepada pembangunan pemain muda menerusi Piala Belia dan Piala Presiden sebagai langkah strategik menentukan hala tuju bola sepak negara.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman berkata, keputusan itu dibuat selepas mempertimbangkan perancangan pembangunan bola sepak negara serta hasil perbincangan dengan pihak berkaitan, termasuk Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dan Liga Bolasepak Amatur (AFL).

“Bagi Piala MFL, kita akur dengan keputusan yang dibuat oleh Lembaga Pengarah MFL. Namun, tumpuan penuh akan diberikan kepada Piala Belia dan Piala Presiden sebagai platform utama pembangunan pemain muda,” katanya.

Pemansuhan Piala MFL menimbulkan persoalan mengenai masa depan pemain berusia 21 dan 22 tahun yang sebelum ini beraksi dalam kejohanan tersebut.

Namun, FAM memberi jaminan bahawa pihaknya sedang mencari penyelesaian terbaik agar tiada kelompok pemain yang terpinggir.

“Kami akan mengadakan perbincangan lanjut dengan AFL serta pihak teknikal bagi merangka strategi terbaik. Malah, pertemuan bersama Presiden AFL, Datuk Yusoff Mahadi, akan diadakan dalam masa terdekat,” ujar Noor Azman.

Beliau turut menegaskan bahawa perubahan ini tidak menjejaskan perancangan pembangunan bola sepak negara kerana setiap keputusan dibuat secara teliti dan berasaskan strategi yang jelas.

“Kami yakin hala tuju ini akan memberi impak positif kepada pembangunan bola sepak negara dalam jangka panjang,” tambahnya.



Source link

OR

Scroll to Top