Piala Raja Thai 2025: Jadual padat cemari semangat kejohanan – PSM

Piala Raja Thai 2025: Jadual padat cemari semangat kejohanan – PSM


Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) meluahkan rasa kecewa terhadap penganjuran edisi ke-38 Piala Raja Thai 2025 yang disifatkan tidak profesional khususnya dari segi pengurusan jadual perlawanan.

Presidennya, Datuk Mohd Sumali Reduan berkata, jadual perlawanan yang terlalu padat dan tidak munasabah bukan sahaja menjejaskan prestasi pemain, malah turut menyebabkan seorang pemain negara mengalami kecederaan.

“Secara peribadi, saya amat kecewa dengan penyusunan jadual yang padat dan tidak sesuai untuk kejohanan bertaraf antarabangsa. Ia memberi kesan langsung terhadap kualiti persembahan pemain,” katanya.

Tegasnya, situasi itu memaksa skuad kuadran dan kuadran campuran negara beraksi dalam tiga perlawanan sehari, dengan masa rehat yang terlalu singkat dan berlarutan hingga lewat malam.

“Akibatnya, seorang pemain utama negara, Muhammad Afifuddin Mohd Razali, mengalami kecederaan seawal hari pertama dan tidak dapat meneruskan aksi sehingga tamat kejohanan,” katanya.

Tambah Sumali yang juga Naib Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), jadual yang sering berubah dan tidak tersusun juga memberi tekanan kepada pemain, apatah lagi dengan had pendaftaran seramai 12 pemain sahaja bagi setiap pasukan.

“Bila pemain cedera, kekuatan pasukan dalam acara berpasukan terjejas. Kita telah merancang rapi bagi menghadapi kejohanan ini, namun apabila jadual berubah dan terlalu padat, ia mengganggu segala perancangan serta prestasi keseluruhan pasukan,” katanya lagi.

Sementara itu, Sumali turut menegaskan pendirian menolak cadangan Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF) untuk meminda undang-undang servis.

Menurutnya yang juga Presiden Persatuan Sepaktakraw Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, peraturan sedia ada sudah terbukti berkesan dan diterima pakai dalam pelbagai kejohanan antarabangsa serta domestik tanpa sebarang isu besar.

“Cadangan pindaan itu dilihat bakal mengubah identiti sukan sepak takraw. Jika tekong dibenarkan melakukan servis dengan pelbagai gaya, termasuk menyerang seperti perejam, ia akan menghapuskan keunikan seni posisi tekong.

“PSM berpendirian bahawa undang-undang servis sedia ada wajar dikekalkan demi memelihara keaslian dan seni permainan sepak takraw,” katanya.



Source link

OR

Scroll to Top