Piala Raja Thai 2026: Gabungan pemain muda, senior jadi sandaran negara

Piala Raja Thai 2026: Gabungan pemain muda, senior jadi sandaran negara


Presiden PSM, Datuk Mohd Sumali Reduan dan Ketua Pegawai Korporat Telekom Malaysia Berhad, Nor Fadhilah Mohd Ali bergambar bersama selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang pingat emas regu berpasukan kebangsaan pada Majlis Penghargaan dan Makan Malam Skuad Sepaktakraw Kebangsaan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur malam tadi. – Foto: Bernama

PERSEKUTUAN Sepaktakraw Malaysia (PSM) akan mempertaruhkan skuad kedua yang menggabungkan pemain berpengalaman dan bakat muda bagi menghadapi Kejohanan Piala Raja Thai 2026 di Bangkok, Thailand pada Ogos depan.

Ketua jurulatih skuad negara, Ahmad Jais Baharun berkata, kejohanan berprestij itu menjadi platform terbaik untuk memberi pendedahan antarabangsa kepada pemain yang tidak berpeluang beraksi pada Piala Dunia Sepak Takraw 2026 baru-baru ini, selain menguji kemampuan mereka di pentas yang lebih kompetitif.

“Ini adalah platform yang amat penting untuk pemain muda mendapatkan pendedahan awal supaya mereka lebih bersedia menggalas tugas negara pada kejohanan akan datang.

“Ia juga peluang terbaik untuk mereka membuktikan kemampuan dan mempamerkan prestasi sebenar,” katanya ketika ditemui pada majlis penghargaan skuad sepak takraw negara di sini semalam.

Menurut Ahmad Jais, langkah itu turut menjadi sebahagian daripada perancangan jangka panjang pasukan kebangsaan dalam menyediakan pelapis baharu bagi memastikan kesinambungan skuad negara apabila pemain senior semakin meningkat usia.

Beliau berkata, antara pemain yang disenaraikan ke Thailand ialah Muhammad Zarif Marican Ibrahim Marican, Muhammad Haziq Hairul Nizam, Mohd Fahmi Khalid dan Zuhri Muhammad Din bagi posisi tekong.

Bagi posisi apit kanan pula, skuad negara akan dibarisi Hafizul Hayazi Adnan, Muhammad Noraizat Mohd Nordin, Muhammad Wazir Madi dan Muhamad Nazrein Daniel Mohd Kamal Mustafa.

Sementara itu, posisi apit kiri akan diisi pemain berpengalaman Zuleffendi Sumari bersama beberapa bakat muda, iaitu Jefri Ahmad, Zulfikri Wajawa, Fetri Azwadi dan Muhammad Kamarul Ezzad Kamarul Imran.

Ahmad Jais ketika mengulas cabaran tuan rumah Thailand berkata beliau menjangkakan saingan sengit memandangkan musuh tradisi itu bertekad menebus kekecewaan selepas Malaysia meraih emas acara regu berpasukan pada Piala Dunia baru-baru ini.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan Malaysia akan menyertai tiga acara, iaitu regu, kuadran dan regu berpasukan.

Bagi acara regu dan regu berpasukan, sasaran yang ditetapkan adalah mara ke pentas final manakala skuad kuadran yang dibarisi pemain muda diharapkan mampu menamatkan saingan dalam kelompok empat pasukan terbaik. – Bernama

 

 

 



Source link

OR

Scroll to Top