Poster perlawanan akhir antara Malaysia dan Thailand di Hat Yai pada Ahad.
SKUAD sepak takraw berpasukan negara akan membuat perhitungan dengan tuan rumah yang juga juara bertahan, Thailand dalam aksi final Piala Raja Thai 2025 di Hat Yai pada Ahad.
Malaysia mara ke pentas akhir selepas mudah mengalahkan India 2-0 dalam aksi separuh akhir pada Sabtu.
Turun selaku pasukan pilihan, Malaysia membariskan regu terkuat dalam saingan pertama, Mohammad Syahir Mohd Rosdi, Mohammad Azlan Alias dan Farhan Adam.
Seperti diramal trio negara hanya memerlukan dua set untuk menang 15-10, 15-11 bagi menyumbang mata pertama.
Hasrat India untuk cuba menyamakan kedudukan tidak berjaya apabila momentum kemenangan diteruskan oleh regu kedua negara.
Trio Muhammad Haziq Hairul Nizam, Muhammad Noraizat Mohd Nordin dan Norfaizzul Abd Razak tiada masalah untuk menutup cabaran pasukan lawan15-11, 15-8.
Dalam pada itu, Thailand yang terlebih dahulu turun di separuh akhir pertama juga mudah melangkah ke perlawanan akhir selepas menundukkan Korea Selatan 2-0.
Kemenangan itu bakal menyaksikan final ulangan seperti beberapa kejohanan sebelum ini apabila Malaysia bakal berdepan musuh tradisi, Thailand.
Kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu adalah pada aksi akhir Piala Asia 2025 yang menyaksikan Thailand menewaskan Malaysia di laman sendiri.
Bagi Malaysia, ia perlawanan amat penting bagi mengakhiri kemarau 34 tahun selepas kali terakhir menang di Sukan SEA Manila 1991.