Justin menyumbang mata kedua berdepan Australia dalam saingan Piala Sudirman di China pada Selasa. Foto FB BAM.
XIAMEN, CHINA – Malaysia menepati ramalan apabila berjaya mara ke saingan suku akhir Piala Sudirman 2025 selepas mencatat kemenangan kedua dalam aksi Kumpulan C, sebentar tadi.
Kejayaan itu diraih setelah skuad badminton negara menewaskan Australia dengan keputusan 4-1, sekali gus meneruskan rentak cemerlang selepas membenam Perancis 5-0 dalam perlawanan pembukaan pada Isnin.

Tang Jie (kiri) dan Ee Wei membuka gelanggang aksi menentang Australia di Xiamen pada Selasa dengan langkah kanan. Foto FB BAM.
Saingan yang berlangsung di Xiamen menyaksikan Malaysia mengungguli satu lagi pertembungan apabila beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei, menghadiahkan mata pertama dengan menewaskan pasangan Australia, Ricky Tang-Gronya Somerville, 21-8, 21-12 dalam masa 27 minit.
Turut cemerlang, pemain perseorangan lelaki Justin Hoh, tidak berdepan masalah apabila menundukkan Shrey Dhand 21-9, 21-15 dalam tempoh 36 minit untuk menyumbang mata kedua.
Pemain perseorangan wanita, K. Letshanaa, mengesahkan kemenangan buat Malaysia apabila mencatat keputusan mudah ke atas Kai Kee Teo, 21-6, 21-8 dalam masa 26 minit.
Beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, turut mempamerkan aksi bertenaga apabila mengatasi Jack Yu-Frederick Zhao dengan keputusan 21-8, 21-9 dalam masa 26 minit.
Bagaimanapun, pasangan beregu wanita, Go Pei Kee-Carmen Ting, gagal menutup perlawanan dengan kemenangan bersih selepas tewas kepada Somerville-Angle Yu 15-21, 18-21 dalam aksi selama 45 minit.
Pemain akan berehat pada Rabu sebelum menamatkan saingan peringkat kumpulan menentang pasukan pilihan, Jepun, pada Khamis.