September 8, 2024

Piala Sultan Selangor terima tajaan RM1.8 juta

Piala Sultan Selangor terima tajaan RM1.8 juta


sukan@hmetro.com.my

Klang: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini berkenan menerima sumbangan penajaan kira-kira RM1.8 juta bagi perlawanan Piala Sultan Selangor (TSSC) 2024 yang dijadualkan berlangsung di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur 17 Ogos depan.

Hadir mengiringi baginda adalah Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

Pengerusi dan Pengurus Pasukan Piala Sultan Selangor, Tan Sri Abd Karim Munisar berkata, pada penganjuran TSSC kali ini kerajaan negeri menyumbang RM1 juta yang disampaikan oleh Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin.

Katanya, TSSC adalah lambang acara unik dan berprestij apabila ia terus menerima tajaan luar biasa daripada kedua-dua sektor korporat dan syarikat berkaitan kerajaan Selangor dalam ekonomi yang mencabar.

“Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) menyumbang RM200,000 manakala Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB); Worldwide Holdings Berhad dan KDEB Waste Management Sdn Bhd masing-masing menyumbang RM100,000.

“RM50,000 masing-masing diterima daripada Kumpulan Semesta Sdn Bhd, Syarikat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd dan Syarikat Koridor Utiliti Selangor (KUSEL).

“Syarikat pembinaan dan pembangunan hartanah Kumpulan Tanjung Balai pula sudi menaja sebuah kereta Honda City sebagai hadiah cabutan bertuah besar untuk tahun ketiga berturut-turut.

“Turut menyumbang RM50,000 adalah Aerofront City Development yang turut menaja penginapan empat hari tiga malam di Marriott Kota Kinabalu dan Noble Resort Hotel Melaka sebagai sebahagian daripada hadiah Cabutan Bertuah Piala Sultan Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Sembah Ucapan pada majlis penyampaian cek sumbangan Piala Sultan Selangor 2024 dan jamuan teh di Istana Alam Shah Klang, di sini, hari ini.

Jelasnya, mendapatkan penajaan semasa ekonomi tidak menentu adalah satu tugas yang sukar dan sokongan yang ditunjukkan oleh syarikat-syarikat khususnya kerajaan negeri adalah bukti keunikan dan prestij jenama TSSC itu sendiri.

Dalam pada itu, Abd Karim berkata, perlawanan pembuka tirai TSSC 2024 akan dilaksanakan pasukan veteran pada 8 malam, diikuti perlawanan utama satu jam selepas itu.

“Penjualan tiket akan dilaksanakan sebulan sebelum perlawanan yang akan dijual di restoran Uncle K di SACC Mall Shah Alam serta di Stadium Merdeka pada hari perlawanan dengan harga RM10,” katanya.

Selain itu, beliau turut menasihati peminat untuk menaiki pengangkutan awam sistem tren Transit Aliran Ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT) dan Monorel dengan waktu operasi dilanjutkan sehingga 12.30 tengah malam pada hari perlawanan.

Penganjuran TSSC dianggap ikonik sejak 2001 yang gelanggang aksi persahabatan bagi dua musuh tradisi Liga Malaysia era semi pro, Selangor dan Singapura.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top