Pemain beregu Wanita negara, Low Zi Yu dan Noraqilah Maisarah ketika beraksi menentang Yasemen Bektas dan Zehra Erden dari Turkiye pada aksi Kumpulan B, Piala Thomas dan Uber di Forum Horsens. Foto Bernama
SKUAD Piala Uber negara nyaris berputih mata sebelum melakar kemenangan 3-2 ke atas Turkiye pada aksi pembukaan Kumpulan B di Forum Horsens, Denmark pada Sabtu.
Gandingan beregu, Low Zi Yu-Noraqilah Maisarah Ramdan muncul wira pasukan apabila menyumbang mata kemenangan negara selepas menundukkan pasangan Yasemen Bektas-Zehra Erdem 21-18, 21-19 dalam tempoh 44 minit.
Kejayaan penuh dramatik itu sekali gus menyelamatkan maruah Malaysia daripada dimalukan dengan kekalahan mengejut pada perlawanan pertama peringkat kumpulan tersebut.
Terdahulu, pemain perseorangan wanita, K Letshanaa meletakkan Malaysia di depan namun dia terpaksa berhempas pulas selama hampir sejam sebelum berjaya menewaskan Neslihan Arin 21-16, 12-21, 21-13.
Bagaimanapun, kegembiraan itu tidak bertahan lama apabila perseorangan kedua, Wong Ling Ching gagal mengekalkan momentum selepas dikejutkan Ozge Bayrak 17-21, 21-15, 18-21, yang membolehkan Turkiye menyamakan kedudukan 1-1.
Pemain profesional, Goh Jin Wei kembali menceriakan kem negara apabila mudah menjinakkan Erdem menerusi kemenangan straight set 21-14, 21-13 dalam tempoh hanya 31 minit untuk kedudukan 2-1.
Namun, Turkiye terus memberikan tentangan sengit apabila beregu utama negara, M. Thinaah-Ong Xin Yee tumpas dalam pertarungan selama 69 minit kepada pasangan Bengisu Ercetin-Nazlican Inci 22-20, 19-21, 19-21.
Kekalahan mengejut beregu utama itu mengheret saingan ke aksi penentu, sebelum Zi Yu-Noraqilah mempamerkan ketenangan luar biasa untuk memastikan kemenangan milik Malaysia.
Skuad negara dijadualkan bertemu Afrika Selatan dalam aksi kedua sebelum menempuh ujian sebenar menentang juara enam kali, Jepun, Isnin ini.
Hanya dua pasukan terbaik daripada setiap kumpulan akan mengesahkan tempat ke pusingan suku akhir.






