Piastri atasi Norris pada latihan bebas terakhir menjelang GP Sepanyol

Piastri atasi Norris pada latihan bebas terakhir menjelang GP Sepanyol


Barcelona: Pendahulu kejuaraan, Oscar Piastri, sekali lagi mencatat masa terpantas mengatasi pencabar gelaran yang juga rakan sepasukan McLaren, Lando Norris dalam sesi latihan bebas ketiga dan terakhir menjelang Grand Prix (GP) Sepanyol.

Pemandu Australia berusia 24 tahun itu mencatat pusingan terbaik dalam masa satu minit 12.387 saat (s), mengatasi Norris yang hanya tiga mata di belakangnya dalam kejuaraan pemandu dengan kelebihan 0.526s.

Charles Leclerc menduduki tempat ketiga untuk Ferrari, tujuh persepuluh saat di belakang, diikuti George Russell dari Mercedes, juara dunia empat kali, Max Verstappen dari Red Bull dan pelumba rookie sedang menyerlah dari Racing Bulls, Isack Hadjar.

Kimi Antonelli berada di tempat ketujuh dalam jentera Mercedes kedua, mengatasi juara dua kali dan wira tempatan, Fernando Alonso dari Aston Martin, juara tujuh kali Lewis Hamilton dalam jentera Ferrari kedua serta Liam Lawson dalam Racing Bull kedua.

Pada perlumbaan sebenar esok, Piastri bukan sahaja akan berusaha untuk menambah kelebihan dalam perebutan gelaran, malah memburu podium kelapan berturut-turut untuk McLaren iaitu pencapaian yang sebelum ini hanya dilakukan oleh dua pemandu, Hamilton dan juara tiga kali, mendiang Ayrton Senna.

Sesi hari ini bermula dalam cuaca panas dan kering, dengan Franco Colapinto dari pasukan Alpine menjadi yang pertama mencatat masa, disusuli Alonso yang mendapat sorakan gemuruh daripada penonton tempatan yang memenuhi litar.

Aksi sebenar hanya bermula selepas 30 minit apabila Carlos Sainz mencatat 1:14.124s, diikuti Leclerc dan Hamilton, sebelum Norris dan Russell memperbaiki masa ke 1:13.396s.

Antonelli segera menunjukkan bahawa Mercedes berjaya menambah baik jentera mereka semalaman apabila mencatat masa kedua terbaik pada pusingan masa pertamanya.

Russell mendahului dengan kelebihan empat persepuluh saat.

Dengan hanya 17 minit berbaki, hanya enam kereta berada di litar apabila pasukan berusaha menjimatkan tayar di litar yang mempunyai tahap degradasi tinggi.

Ini menyebabkan sesi agak kurang menghiburkan sebelum Verstappen, selepas beberapa perubahan pelarasan, mencatat masa terbaik 1:13.375s.

Dalam percubaan kedua, McLaren kembali mencuri tumpuan apabila Piastri mencatat 1:12.387 iaitu satu saat lebih pantas.

Norris mencatat masa kedua terpantas appabila ketinggalan 0.526 saat, manakala Leclerc kekal di tempat ketiga.

Agak mengejutkan apabila jarak masa antara tempat pertama hingga ke-10 hanya 1.4 saat.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top