Zandvoort: Oscar Piastri muncul juara Grand Prix Formula Satu Belanda yang penuh insiden, dengan pelumba tuan rumah, Max Verstappen sekadar menamatkan saingan di tempat kedua selepas rakan sepasukan Piastri di McLaren, Lando Norris mengalami masalah jentera di penghujung perlumbaan.
Piastri yang bermula dari petak utama tidak melepaskan peluang untuk mendahului dari awal hingga garisan penamat di Litar Zandvoort dalam saingan yang menyaksikan kereta keselamatan dikerah sebanyak tiga kali, sekali gus melebar jurang pendahuluannya kepada 34 mata dalam perebutan kejuaraan dunia.
Pelumba muda Perancis berusia 20 tahun dari Racing Bulls, Isack Hadjar menamatkan saingan di tempat ketiga sekali gus menjadi podium pertamanya dan muncul sebagai pelumba kelima termuda dalam sejarah F1 yang berjaya meraih podium.
Kemenangan itu adalah yang keenam buat Piastri musim ini, sekali gus mengukuhkan status pelumba Australia itu sebagai pencabar utama untuk ditangkap dalam kejuaraan pemandu tahun ini.
“Saya rasa berada dalam kawalan penuh dan hanya menggunakan kepantasan bila perlu.
“Kalau kami dapat mengekalkan rentak ini memang bagus, tapi masih jauh perjalanan dan kami akan terus fokus satu perlumbaan pada satu masa,” kata Piastri.
Perlumbaan bermula penuh mendebarkan apabila Verstappen yang bermula di petak ketiga memintas Norris, namun hampir hilang kawalan jentera Red Bull miliknya.
Sorakan ribuan penyokong “Tentera Oren” di litar memberi semangat tambahan buat Verstappen untuk segera bangkit, namun kepantasan McLaren sukar disaingi apabila Norris kembali memintasnya di sebelah kiri pada pusingan kesembilan untuk mengembalikan kedudukan satu-dua buat pasukan itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd