Piastri-Norris buru gelaran dunia, McLaren intai takhta pengeluar di Baku

Piastri-Norris buru gelaran dunia, McLaren intai takhta pengeluar di Baku


Baku: Perebutan gelaran dunia Formula Satu (F1) musim ini kembali panas hujung minggu ini apabila Oscar Piastri dan Lando Norris bukan sahaja bersaing sesama sendiri untuk kejuaraan pemandu, malah berpeluang mengesahkan kejuaraan konstruktor buat McLaren di Grand Prix (GP) Azerbaijan.

Dua pelumba muda itu memenangi 12 daripada 16 perlumbaan setakat ini, sekali gus menempatkan McLaren di ambang gelaran ke-10 pasukan dengan baki tujuh pusingan.

Piastri kini mendahului saingan pemandu dengan 31 mata selepas Norris merapatkan jurang menerusi aksi cemerlang di Monza, manakala kemenangan Max Verstappen di GP Itali dijangka tidak menghalang dominasi McLaren kembali di litar jalan raya Baku, lokasi kemenangan Piastri tahun lalu.

Bagaimanapun, faktor insiden dan kemalangan yang sering mewarnai perlumbaan di Azerbaijan dilihat mampu menggugat peluang McLaren mengesahkan gelaran lebih awal.

McLaren boleh muncul juara pengeluar sekiranya meraih kemenangan 1-2 di Baku atau menamatkan perlumbaan sekurang-kurangnya sembilan mata di depan Ferrari, dengan syarat Red Bull atau Mercedes tidak mencatat kemenangan besar.

Ferrari pula mengintai kebangkitan menerusi Charles Leclerc yang memburu petak utama kelima berturut-turut di Baku, namun masih buntu mencari kemenangan musim ini.

Malah rakan sepasukan baharunya, Lewis Hamilton, juga terus kempunan podium.

Di kem Red Bull, Verstappen memberi amaran bahawa kemenangan di Monza memberi ‘suntikan moral buat pasukannya.

“Monza amat luar biasa untuk kami dan ia membuktikan hala tuju pelarasan kereta sudah tepat. Baku pula mencabar kerana ia memerlukan kompromi, tapi saya harap momentum positif ini berterusan,” katanya.

McLaren kini mendahului Ferrari dengan 337 mata selepas 16 pusingan, manakala Mercedes pula tiba di Azerbaijan dengan tekad membalas prestasi hambar di Itali yang menyaksikan pelumba rookie mereka, Kimi Antonelli, gagal menyerlah.

“Kami kehilangan banyak mata di Monza. Lapan perlumbaan terakhir ini sangat penting,” kata bos Mercedes, Toto Wolff.

Sementara itu, bos Ferrari, Fred Vasseur, mengakui McLaren berada ‘di planet lain’ musim ini tetapi tetap mensasarkan kedudukan naib juara menewaskan Mercedes dan Red Bull.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top