Montreal: Pendahulu kejuaraan, Oscar Piastri menerima permohonan maaf rakan sepasukan McLaren, Lando Norris, selepas pemandu Britain itu tersilap dalam percubaan memotong dan melanggarnya pada pusingan-pusingan akhir Grand Prix Kanada, awal pagi tadi.
Insiden berkenaan berlaku pada pusingan ke-67 daripada 70, apabila Norris cuba memotong rakan sepasukannya dari Australia yang juga pencabar kejuaraan di laluan lurus, namun tersilap menilai ruang sempit sebelum melanggar bahagian belakang jentera Piastri, sehingga merosakkan sayap hadapan keretanya sendiri.
Piastri berjaya meneruskan perlumbaan dan menamatkannya di tempat keempat, manakala Norris terpaksa menarik diri.
Pemandu Mercedes, George Russell muncul juara selepas bermula di petak utama, diikuti juara dunia empat kali, Max Verstappen (Red Bull) di tempat kedua, dan pelumba remaja yang juga pendatang baharu dalam kancah F1, Kimi Antonelli (Mercedes) di tempat ketiga, sekali gus menjadi pemandu ketiga termuda dalam sejarah Formula Satu (F1) yang menaiki podium.
Ia adalah kemenangan pertama Russell musim ini dan menjadikannya pemenang keempat berbeza tahun ini selepas dua pemandu McLaren dan Verstappen.
Kedudukan keempat yang diraih Piastri nyata mengecewakannya apabila McLaren gagal menaiki podium buat kali pertama musim ini dalam perlumbaan ke-10 daripada 24 perlumbaan keseluruhan.
Namun begitu, Piastri berjaya meningkatkan kelebihan dalam kejuaraan dunia kepada 22 mata dengan kutipan 198 mata, mengatasi Norris dan Verstappen yang masing-masing mengumpul 176 dan 155 mata. Russell berada di tempat keempat dengan 136 mata.
“Ia bukan sesuatu yang ideal untuk sesiapa pun. Saya sendiri belum menonton semula insiden itu, jadi saya tidak tahu dengan jelas apa yang berlaku, tetapi jika Lando mengambil tanggungjawab penuh, maka begitulah keadaannya.
“Secara keseluruhan, ia perlumbaan yang sukar dan penamat yang tidak ideal,” kata Piastri.
Mengulas aksi persaingannya dengan Norris, Piastri berkata: “Ia pertarungan yang adil, tetapi dia membuat pergerakan agak besar di pusingan ke-10. Ia memang pertarungan sengit tetapi bersih sehingga ke saat itu.
“Saya belum tengok insiden itu semula, tapi saya tak fikir ada niat jahat. Saya rasa ia hanya satu kemalangan yang malang.
“Saya akan lihat semula kami berdua sedang bersaing untuk kejuaraan dunia dan saya sangat berterima kasih kepada pasukan kerana membenarkan kami bersaing secara terbuka. Saya tak jangka insiden ini akan mengubah apa-apa dari segi itu.”
© New Straits Times Press (M) Bhd