WALAUPUN ada pihak mendakwa populariti pickleball di Malaysia semakin perlahan, hakikatnya ia terus berkembang secara dinamik sejak diperkenalkan di negara ini pada 2018.
Data kejohanan, aplikasi pendaftaran pemain serta inisiatif pembangunan akar umbi menunjukkan pickleball sedang berkembang sebagai sukan yang berdaya tahan dengan potensi menyamai badminton dan skuasy.
Mengulas dakwaan itu, Pengerusi Jawatankuasa Kecil Pembangunan Persatuan Pickleball Malaysia (MAP), Profesor Madya Dr Mohamad Rahizam Abdul Rahim menegaskan bahawa turun naik sambutan adalah lumrah dalam mana-mana perniagaan sukan.
Beliau menjelaskan bahawa sebahagian pengusaha gelanggang mungkin meletakkan jangkaan terlalu tinggi, mahu pulangan modal dalam tempoh singkat tetapi tidak membuat perancangan jangka panjang.
“Realiti di lapangan menunjukkan gelanggang masih dipenuhi pemain terutama pada waktu malam selepas bekerja,” katanya kepada Sukan Sinar.
Mengulas lanjut, Rahizam yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Shah Alam melihat masa depan pickleball di negara ini dengan penuh optimisme.
Beliau turut menggariskan enam syarat penting untuk melonjakkan pickleball ke tahap setaraf badminton dan skuasy iaitu pembangunan di peringkat akar umbi terutama di sekolah, sistem kejurulatihan yang mantap, pertandingan di semua peringkat, persatuan yang aktif, kemudahan sukan yang mudah diakses, serta sokongan industri dan kerajaan.
“Insya-ALLAH dengan ekosistem yang mantap, dalam tempoh lima hingga 10 tahun pickleball mampu setaraf dengan sukan-sukan popular lain,” katanya.
Rahizam menjelaskan, langkah konkrit untuk melihat pickleball diangkat sebagai sukan teras sudah pun dimulakan.
Menurutnya, MAP bersama Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor akan melancarkan program pembangunan pickleball di sekolah rendah dan menengah.
“Sebanyak 50 sekolah telah dikenal pasti sebagai projek perintis dengan pelancaran dijadualkan pada 7 Mei ini.
“Program ini dilihat sebagai strategi penting untuk memperluas penglibatan generasi muda, sekali gus memastikan kesinambungan sukan tersebut,” kata Rahizam.
Selain itu, aplikasi seperti DUPR dan ReClub menunjukkan pertambahan pemain baharu secara konsisten.
Malah, Rahizam memaklumkan purata penganjuran kejohanan pickleball kini mencecah lebih 300 pertandingan dalam tempoh setahun, dengan hampir setiap hujung minggu berlangsung kejohanan di pelbagai lokasi di seluruh negara.
“Angka ini jelas menolak dakwaan bahawa minat terhadap pickleball semakin merosot,” katanya lagi.
Apa pun, Rahizam melihat keunikan pickleball terletak pada akses terbuka kepada semua umur dan latar belakang.
Katanya, pickleball boleh dimainkan oleh kanak-kanak, golongan dewasa, malah warga emas, sekali gus menjadikan sukan tersebut benar-benar inklusif dan dekat dengan masyarakat.
“Sifat menyeluruh ini membuka ruang besar untuk pickleball berkembang bukan sahaja sebagai sukan komuniti tetapi juga sebagai sukan prestasi yang mampu melahirkan bakat baharu di pentas antarabangsa.
“Dengan sokongan ekosistem yang mantap, pickleball berpotensi menjadi salah satu sukan utama negara dalam tempoh beberapa tahun akan datang,” tambah Rahizam yang optimis bahawa pickleball kini berada di persimpangan penting menuju aspirasi sebagai sukan arus perdana yang bakal mewarnai landskap sukan Malaysia.






