Pihak berkuasa perlu segera kawal penjualan vape menyerupai alat tulis

Pihak berkuasa perlu segera kawal penjualan vape menyerupai alat tulis


PETALING JAYA: Pihak berkuasa digesa mengambil tindakan segera dalam mengesan penjualan rokok elektronik atau vape yang menyerupai peralatan tulis dijual kepada remaja bawah umur.

Presiden Persatuan Pengguna Kedah (Cake), Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, penjualan rokok elektronik kepada remaja bawah umur 18 tahun ke bawah sangat tidak wajar seperti mana rokok dan arak yang tidak boleh dijual kepada mereka.

Katanya, penjualan itu boleh membawa kepada keruntuhan sosial yang akan mendorong mereka kepada gejala penagihan dadah.

“Rokok yang menyerupai peralatan tulis sekolah ini sangat mengelirukan pihak berkuasa untuk membuat pemeriksaan kepada pelajar termasuk dengan bentuk-bentuk lain seperti alat permainan dan sebagainya.

“Saya rasa tidak wajar pihak peniaga untuk menjual benda berbahaya seperti vape pelbagai rupa ini untuk menarik minat pembeli remaja.

“Mereka mudah terangsang untuk membeli kerana fasa sekarang rokok bukan lagi menjadi pilihan utama pengguna,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Terdahulu, media ini melaporkan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) mengesan taktik penjualan rokok elektronik menyerupai peralatan alat tulis seperti pen, gam dan pena penanda yang berleluasa dalam platform atas talian.

Selain itu, pihak Kementerian Pendidikan (KPM) juga akan turun ke sekolah-sekolah bagi meningkatkan pemantauan sekali gus menangani pengambilan rokok elektronik dalam kalangan pelajar.

Menterinya, Fadhlina Sidek dilaporkan berkata, pihaknya sedang berusaha menangani isu itu secara besar-besaran susulan ia menjadi kesalahan besar dalam disiplin di peringkat sekolah.

Sementara itu, menurut Timbalan Presiden Pertubuhan Mesra Pengguna Malaysia (PMPM), Azlin Othman, tindakan kepada pembekal vape serta pemeriksaan kepada pelajar sekolah merupakan perkara yang wajar dilaksanakan.

Azlin berkata, masyarakat perlu berikan perhatian sewajarnya ke atas isu tersebut kerana melihat situasi yang berlaku itu jelas bukannya satu kebiasaan untuk pelajar sekolah.

“Berdasarkan laporan sebelum ini, penggunaan vape dalam kalangan generasi muda meningkat dua kali ganda berbanding tahun-tahun sebelumnya.

“Tabiat yang bahaya ini perlu dihebahkan kerana masih ramai yang belum sedar dan tidak mengendahkan keburukannya,” katanya. – UTUSAN





Source link

OR

Scroll to Top