Putrajaya: Pihak yang berterusan memanipulasi isu keagamaan serta perkauman sebagai senjata untuk melemahkan pihak yang tidak sealiran adalah golongan tidak bertanggungjawab, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.
Mohd Na’im berkata, perbuatan itu akan menyebabkan rakyat menjadi mangsa keadaan kerana dihidangkan dengan berita fitnah, adu domba serta maki hamun yang memecahbelahkan silaturahim.
“Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan pada hari ini membawa satu makna besar kepada umat Islam untuk menghayati serta mengamalkan segala intipati ajaran yang ditinggalkan Rasulullah SAW berasaskan ilmu dan hikmah.
“Antara sifat kenabian baginda Rasulullah SAW iaitu siddiq (benar), amanah, tabligh (menyampaikan) dan fatanah (bijaksana) adalah rencah lengkap dalam menggapai Al-Falah sebagai Muslim sejati,” katanya dalam ucapan menjunjung kasih sempena Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 2024/1446H, di sini, hari ini.
Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat ke majlis memperingati kelahiran Rasulullah SAW yang bertemakan ‘Al-Falah Pemacu Malaysia Madani’ itu.
Turut hadir Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Mohd Na’im berkata, Malaysia memerlukan kompas tersendiri dalam menghargai keunikan kepelbagaian budaya, kaum dan agama.
Justeru, beliau berkata, semangat perpaduan dalam kemajmukan berteraskan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara akan membentuk acuan jati diri yang berjiwa patriotik, bertoleransi dan bertanggungjawab untuk memperkukuh kesejahteraan masyarakat yang menjadi nilai teras Malaysia Madani.
Berkongsi pengisian sambutan itu, beliau berkata, buat julung kalinya, kerajaan Madani menganjurkan program Malam Cinta Rasul 2024 yang menampilkan pengisian ceramah daripada Mufti Selangor Datuk Anhar Opir, Mufti Pulau Pinang Prof Madya Datuk Dr Mohd Sukki Othman, Timbalan Mufti Sabah Datuk Abdul Manap Lakariba serta Habib Ali Zainal Abidin.
Mohd Na’im berkata, program itu bertujuan menyuburkan kecintaan kepada Rasulullah SAW bersesuaian dengan wadah yang dibawa Perdana Menteri yang mahu terus memakmurkan syiar Islam di negara ini.
Malam Cinta Rasul 2024 yang berlangsung di Dataran Putra, di sini, malam tadi, dirasmikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan dihadiri kira-kira 50,000 orang.
Mohd Na’im turut mengajak kira-kira 6,000 tetamu yang hadir majlis sambutan ulang tahun kelahiran Rasulullah SAW untuk bersama-sama mendoakan saudara seagama di Palestin agar diberikan kesejahteraan dan keselamatan.
“Dalam keceriaan yang berwarna-warni, ayuh kita terus bersatu hati mendoakan rakyat Palestin yang sedang menerima rawatan di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, Kuala Lumpur agar dikurniakan kesihatan dan kesembuhan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd