Pelakon terkenal, Nora Danish yang kini berusia 43 tahun mendedahkan hasrat untuk meninggalkan dunia lakonan suatu hari nanti demi memberi tumpuan kepada urusan keluarga serta perniagaan.
Bersara selepas kahwin?

Memetik laporan Berita Harian, menurut Nora, meskipun perancangan tersebut sudah lama terlintas di fikiran, ia tidak mungkin direalisasikan dalam masa terdekat memandangkan tanggungjawabnya sebagai ibu masih menjadi keutamaan.
Berkongsi lanjut, aktres yang mula meraih populariti menerusi drama bersiri Puteri itu mengakui keputusan untuk bersara hanya akan dipertimbangkan selepas dia kembali berumah tangga.
“Sekarang tidak boleh bersara lagi, saya kena cari duit untuk sara anak-anak. Insya-Allah, kalau saya sudah berkeluarga nanti, barulah saya akan fikirkan mengenai perkara itu,” kata Nora, semalam.
Tambah Nora, selain ingin menikmati kehidupan berkeluarga, dia juga berhasrat menumpukan perhatian sepenuhnya dalam bidang perniagaan sekiranya tidak lagi aktif dalam lakonan.

“Saya hendak jadi seperti dia. Mungkin fokus saya pula dari sudut perniagaan. Tetapi, untuk berlakon, saya penatlah,” jelasnya.
Dalam pada itu, Nora menafikan dakwaan bahawa kenyataan mengenai persaraan itu berkait rapat dengan spekulasi kononnya dia bakal menamatkan zaman solo dalam masa terdekat.
Jelasnya, hubungan dengan lelaki yang dikaitkan dengannya masih berada di peringkat awal dan belum sesuai untuk memikirkan soal perkahwinan.
“Semua wanita ingin berkahwin dan memiliki rumah tangga lebih baik serta ada suami yang boleh menjaga kita. Memang saya akui, itu impian saya.
“Tetapi, saya tidaklah tergesa-gesa ke arah itu. Saya letak sepenuh kepercayaan kepada Allah dan biar Dia aturkan semuanya. Cepat atau lambat, semua saya serah kepada Allah.
“Bukan sebab perkahwinan yang jadi punca saya hendak bersara. Saya sudah penat sebab sudah lama sangat dalam industri seni,” katanya lagi.

Mengulas mengenai hubungannya dengan duda anak tiga yang dikenali sebagai Mickey Ayo, Nora menjelaskan hubungan mereka masih dalam fasa saling mengenali.
“Macam terlalu cepat untuk kami berbincang untuk ke arah lebih serius (kahwin). Kami masih mengenal hati budi, masing-masing pun pernah gagal dua kali dalam perkahwinan.
“Jadi, saya hendak pastikan untuk kenal hati budi dan sebagainya dahulu. Tidak fokus pada perkahwinan lagi,” katanya.
Artikel lanjut: Hangat dilamun cinta? Nora Danish tegaskan Nedim berhak bahagia bersama pilihan hati
Untuk rekod, Nora Danish pernah mendirikan rumah tangga sebanyak dua kali. Perkahwinan pertama adalah bersama Datuk Rizal Ashram Ramli (Jejai) pada 20 Jun 2006 dan bercerai pada 2008, dikurniakan seorang anak lelaki, Putra Rayqal.
Perkahwinan kedua pula bersama Mohamad Nedim Nazri pada 30 Mac 2017, dikurniakan anak lelaki, Mohamed Neqayl, sebelum sah bercerai talak satu pada Jun 2024.
Sumber: Berita Harian (Serimah Mohd Sallehuddin)






