Pilih bersemuka, saya jenis sukar balas mesej – Harissa Adlynn

Pilih bersemuka, saya jenis sukar balas mesej – Harissa Adlynn


KUALA LUMPUR: Pelakon, Harissa Adlynn,23, mengakui dirinya bukan individu yang gemar berbalas mesej atau melayan panggilan telefon sebagaimana mungkin individu lain.

Menurut Harissa, sikap ini barangkali satu daripada kelemahan dirinya selain mengakui sukar untuk mengubah keadaan itu berikutan telah menjadi satu kebiasaan.

“Saya tidak pasti jika ini boleh dianggap sebagai satu ciri ‘red flag’ diri. Tetapi terus-terang, saya memang jarang membalas mesej atau panggilan telefon orang lain. Itulah diri saya.

“Sama ada anda adalah rakan, ahli keluarga atau sesiapa sahaja yang mengenali, saya memang sukar membalas mesej.

“Kalau hendak tahu, mesej WhatsApp saya yang tidak dibaca sangat banyak. Ibu saya sendiri pun sudah penat menghantar mesej kepada saya sehingga dia menggunakan huruf besar kerana terlalu geram,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, kelmarin.

Tambah Harissa, jika melibatkan ibunya, keadaan itu lazimnya berlaku kerana dia terlalu sibuk sehingga tidak sempat memegang telefon.

Bagaimanapun, keadaan itu berbeza dengan orang lain kerana dia mengakui lebih cenderung mengabaikan mesej berikutan tidak gemar berkomunikasi secara maya.

“Kalau dengan ibu, biasanya tidak respons kerana saya sibuk dan tidak dapat memegang telefon. Tetapi untuk orang lain, saya memang malas mahu membalas. Saya tidak suka berbalas mesej atau menelefon.

“Jika mahu bercakap, lebih baik kita berjumpa secara berhadapan. Apabila kita tidak berjumpa, saya lebih suka bersendirian. Kebanyakan rakan saya juga sudah matang dan sudah berkahwin, jadi mereka pun jarang menghantar mesej WhatsApp,” ujarnya.

Dalam pada itu, Harissa berkata, hubungan persahabatan yang rapat baginya tidak semestinya diukur melalui kekerapan berhubung, sebaliknya lebih kepada keselesaan dan kepercayaan yang dibina antara satu sama lain.

“Rakan baik saya sendiri pun, kami jarang menelefon atau menghantar mesej. Tetapi apabila kami berdua mempunyai masa lapang, kami akan melancong bersama. Dia adalah rakan yang paling saya percayai dalam hidup ini.

“Kadangkala apabila kami meluangkan masa bersama, kami tidak berbual pun. Masing-masing hanya melakukan hal sendiri tetapi kami tetap selesa,” katanya.

Sementara itu, berkongsi mengenai persahabatan dalam industri seni, Harissa menjelaskan dia mempunyai ramai kenalan dalam kalangan artis, namun tidak semua dianggap sebagai tempat untuk berkongsi rahsia atau hal peribadi.

“Saya berkawan sahaja dengan semua tetapi ketika berada di set penggambaran sahaja. Apabila selesai tugas, pulang, masing-masing dengan urusan sendiri.

“Namun, saya akui akrab dengan pelakon Tony Eusoff dan Sazzy Falak. Mereka selalu ajak saya keluar makan dan saya selesa berkawan dengan mereka kerana kedua-duanya sangat jujur dan matang,” katanya.

Pada masa sama, Harissa mengakui dia sangat mementingkan kebijaksanaan seseorang dan sukar untuk menyesuaikan diri dengan individu yang tidak mampu memberikan perbualan yang berkualiti.

“Saya suka orang yang bijak. Jika saya duduk bersama orang yang tidak boleh saya ajak berbual lebih daripada lima minit, saya akan terus beredar.

“Saya tidak menghakimi mereka, cuma saya rasa perbualan yang tidak bermakna boleh menjejaskan tahap pemikiran saya,” katanya.



Source link

OR

Scroll to Top