Penyanyi dan pencipta lagu, Noh Salleh berkongsi berita gembira apabila memaklumkan isterinya, Fatin Athirah Mustapa selamat melahirkan bayi perempuan mereka pada Jumaat lalu.
Menerusi perkongsian di Instagram, Noh, 40, mengambil kesempatan meluahkan rasa syukur yang tidak terhingga terhadap kehadiran zuriatnya itu.
“Ia memerlukan kami mengharungi pelbagai ujian yang dasyat untuk menyedari bahwa hanya Allah Yang Maha Esa yang menentukan masa yang sempurna untuk sesuatu dituliskan menjadi milik kita. Tidak lambat, tidak terlalu cepat, Perfect,” katanya.
Dalam pada itu, Noh juga berkongsi, anak perempuannya yang diberi nama Tara Svara itu selamat dilahirkan pada 21 November 2025 dan berada dalam keadaan sihat dan cantik.
Jelasnya, ini adalah sebuah fasa baru untuknya dan isteri sekali gus memohon agar semua peminat di luar sana mendoakan perjalanan menjadi ibu bapa ini dipermudahkan.
“Pada tanggal 21st November isteri saya telah melahirkan anak kami yang pertama. Seorang anak perempuan yang sihat dan sangat cantik.
“Berkat doa restu orang tua, keluarga, sahabat dan anda semua, proses kelahiran sangat lancar dan meriah kerana ditemani pelukan ciuman dan sorakan.
“Sebuah fasa baru untuk kami dan mohon kalian doakan journey sebagai parents ini sentiasa dalam lindungan Allah swt. Doakan Aku , Athira dan Tara Svara,” kongsinya.






