BANGI – Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menggesa segelintir pihak dalam Parti Amanah Negara (Amanah) Johor untuk berhenti berpolitiking sebaliknya melebihkan masa bekerja untuk rakyat pada masa ini.
Gesaan Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri itu terhadap reaksi kenyataan daripada Amanah Johor bahawa akan berlakunya pertembungan antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya akan datang.
“Pilihan raya masih lama lagi. Saya fikir ada baiknya kita bekerja untuk rakyat dulu dan tidak berpolitik. Kita perlu sibukkan diri bantu rakyat pada masa ini,” katanya kepada media selepas pada Majlis Penutupan Konvensyen Pemerkasaan Kepimpinan Luar Bandar MADANI Tahun 2024 di sini hari ini.
Semalam, Timbalan Pengerusi Amanah Johor, Dzulkefly Ahmad berkata, partinya tidak menolak kemungkinan berlaku pertembungan antara Pakatan Harapan (PH) dan BN pada PRN dan PRU akan datang.
Malah parti itu menyasarkan bertanding sekurang-kurangnya 20 kerusi daripada keseluruhan 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Johor, sama ada bersama BN atau bersama dengan gabungan asal, PH.
Ahmad Zahid juga menyerahkan perkara itu kepada kepimpinan tertinggi pimpinan Amanah.
“Berlaku pertembungan atau tidak, kita serahkan kepada kepimpinan parti Amanah untuk buat keputusan,” ujarnya.
Untuk makluman, sebelum ini ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Mahkota, Amanah Johor ada meminta kerusi itu bagi ditandingi oleh parti yang diterajui oleh Datuk Seri Mohamad Sabu. -MalaysiaGazette
IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL