Pemain pilihan Selangor Chrigor Morae (dua kanan) meraikan jaringan kemenangan ketika menentang pasukan pilihan Singapura pada perlawanan Piala Sultan Selangor 2025 yang berlangsung di Stadium Merdeka malam ini. Foto Bernama
PILIHAN Selangor menjulang kejuaraan Piala Sultan Selangor (TSSC) bagi kali keempat berturut-turut selepas mengecewakan Pilihan Singapura 2-1 di Stadium Merdeka di sini malam ini.
Kemenangan itu menyaksikan skuad Gergasi Merah melebarkan rekod kejuaraan ke-12 sejak kali pertama TSSC dianjurkan pada 2001.
Aksi babak pertama menyaksikan kedua-dua pasukan mempamerkan perlawanan seimbang dan saling berbalas serangan.
Gol Selangor akhirnya tiba pada minit ke-20 berpunca daripada hantaran menarik Mohamad Faisal Abdul Halim daripada sudut tepi yang berjaya disempurnakan Harry Danish, sekali gus menewaskan penjaga gol lawan Hassan Abdullah Sunny.
Selangor terus melancarkan serangan berbahaya ke kubu lawan, namun Singapura berjaya mengekang usaha anak buah Christophe Gamel sebelum mengikat kedudukan menerusi Takumi Yokohata pada minit ke-40.
Memasuki separuh masa kedua, Singapura dilihat lebih agresif mengatur gerak namun segala serangan berjaya dipatahkan pertahanan Selangor.
Selangor akhirnya menambah jaringan menerusi pemain gantian Chrigor Moraes yang menyempurnakan sepakan penalti pada masa kecederaan, sekali gus mengesahkan kejuaraan buat Gergasi Merah.
Sementara itu, pasukan Veteran Selangor kempunan untuk mempertahankan kejuaraan itu selepas tewas kepada Singapura 4-3 pada aksi penentuan sepak penalti selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan.
Terdahulu, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan merasmikan perlawanan itu serta menyampaikan trofi kepada pemenang. – Bernama
Ringkasan AI
- Pilihan Selangor menjuarai Piala Sultan Selangor untuk kali keempat berturut-turut dengan menewaskan Pilihan Singapura 2-1
- Kemenangan itu merupakan rekod kejuaraan ke-12 untuk Selangor sejak pertama kali TSSC dianjurkan pada 2001
- Gol pertama Selangor dicetak oleh Harry Danish pada minit ke-20 berdasarkan hantaran dari Mohamad Faisal Abdul Halim
- Singapura menyamakan kedudukan menerusi gol Takumi Yokohata pada minit ke-40
- Chrigor Moraes dari Selangor menjaringkan gol kemenangan melalui sepakan penalti pada masa kecederaan





