am@hmetro.com.my
Georgetown: Kegembiraan tujuh beranak menyambut Aidiladha bertukar pilu apabila kediaman mereka di Taman Desa Penaga, Jelutong di sini, musnah dalam kebakaran, hari ini.
Abdul Rashid Ismail, 53, berkata, ketika kejadian, keluarganya berkumpul menikmati sarapan dan juadah hari raya selepas pulang menunaikan solat sunat Aidiladha.
Beliau berkata, tidak lama selepas itu, dia terlihat kepulan asap sebelum mendapati sebuah bilik di kediamannya itu terbakar.
“Saya cuba padamkan api menggunakan tuala yang basah tetapi api semakin marak dan membakar tilam serta baju.
“Ketika lihat api menjulang ke bahagian bumbung, saya terus dukung ibu berusia 79 tahun keluar dari rumah selain memastikan kesemua ahli keluarga sudah selamat,” katanya, di sini.
Menurutnya, dia masuk semula ke dalam rumah mengambil kunci kereta dan ketika itu tangannya disambar api serta melecur.
“Berikutan tiada harapan hendak selamatkan harta benda, saya keluar semula dari rumah itu dan kini kami sekeluarga tinggal sehelai sepinggang malah bersyukur semua ahli keluarga selamat,” katanya yang juga peniaga.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak A’ Azelan Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan pada 9.02 pagi berhubung kejadian itu.
Katanya, penugasan pemadaman api dibantu anggota dari BBP Lebuh Pantai, BBP Paya Terubong dan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) berhampiran.
“Kebakaran membabitkan rumah kayu dua tingkat, selain dua kereta dan sebuah motosikal turut terbakar 10 peratus.
“Pasukan penyelamat berjaya mengawal api daripada merebak pada 9.28 pagi dan padam sepenuhnya kira-kira 40 minit kemudian,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Katanya, selain kecederaan menimpa Abdul Rashid yang melecur di tangan, seorang lagi wanita berusia 39 tahun mengalami tekanan darah tinggi akibat kejadian mengejut berkenaan.
“Kedua-duanya diberi rawatan awal di lokasi,” katanya.
Ahli Parlimen Jelutong RSN Rayer ketika dihubungi berkata, pihaknya sudah melawat keluarga terbabit sejurus kejadian dan akan pertimbang tawaran sesuai, termasuk pembinaan semula rumah yang musnah.
© New Straits Times Press (M) Bhd