Pinda akta, benarkan pesawah kisar padi sendiri

Pinda akta, benarkan pesawah kisar padi sendiri


BUKIT GANTANG: Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 (Akta 522) perlu dipinda bagi membolehkan pesawah mengisar padi sendiri dan menjual beras yang mereka hasilkan.

Ketua Task Force Pemantauan (Kluster Makanan) Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata, langkah itu akan memberi lebih autonomi kepada pesawah dan memecahkan monopoli kilang dalam industri padi dan beras.

Menurutnya, pesawah kini terikat dengan keperluan menjual padi mereka kepada kilang tertentu untuk mereka layak menerima subsidi padi.

“Situasi ini menyebabkan pesawah tidak mempunyai akses langsung kepada beras untuk kegunaan sendiri.

“Saya mencadangkan agar kerajaan mempertimbangkan kelonggaran dalam peraturan ini atau sekurang-kurangnya mengkaji kesannya jika dilaksanakan,” katanya.

Beliau ditemui pemberita pada menyampaikan bantuan kembali ke sekolah kepada pelajar masyarakat India di Pusat Khidmat beliau di sini hari ini.

Beliau turut menyuarakan kebimbangan mengenai penutupan kilang-kilang kecil milik Bumiputera, dengan hanya empat atau lima kilang besar yang mampu bertahan dalam pasaran semasa.

Menurutnya, jika kerajaan membuka semula pasaran dan membenarkan pesawah menjual padi kepada sesiapa sahaja, ia akan memberi peluang kepada kilang-kilang kecil untuk beroperasi semula dan pesawah dapat mengisar padi mereka sendiri menggunakan mesin-mesin kecil sedia ada.

“Pindaan tersebut harus turut mempertimbangkan kepentingan pesawah dengan membenarkan mereka mengisar padi sendiri dan menjualnya kepada pembeli pilihan.

“Langkah ini akan meningkatkan pendapatan pesawah dan mengurangkan kebergantungan kepada kilang-kilang besar,” katanya.

Beliau juga mencadangkan agar kerajaan mengkaji semula struktur subsidi sedia ada, yang kini disalurkan melalui kilang-kilang tertentu.

Menurutnya, dengan membenarkan pesawah menjual padi secara langsung, subsidi boleh disalurkan terus kepada pesawah tanpa melalui perantara bagi memastikan manfaat sepenuhnya diterima oleh pesawah.

“Adalah penting untuk kerajaan menyediakan kemudahan dan sokongan teknikal kepada pesawah yang ingin mengisar padi sendiri.

“Ini termasuk penyediaan mesin pengisar berskala kecil dan latihan berkaitan bagi memastikan kualiti beras yang dihasilkan memenuhi standard pasaran,” katanya. – UTUSAN

 





Source link

OR

Scroll to Top