Pingat perak milik Ziyad

Pingat perak milik Ziyad



mohdsyazwan@hmetro.com

Kuala Lumpur: Jaguh olahraga para negara Muhammad Ziyad Zolkefli terpaksa berpuas hati menamatkan cabaran di pentas Sukan Paralimpik Paris 2024 dengan membawa pulang pingat perak dalam acara lontar peluru lelaki F20 (kecacatan intelektual), sebentar tadi.

Tampil sebagai antara pilihan utama, Ziyad mengesahkan perak miliknya dengan catatan 17.18 meter (m) pada lontaran ketiganya itu yang berlangsung di Stade de France.

Walaupun, cuba berusaha memperbaiki teknik lontaran, atlet negara berusia 34 tahun itu terpaksa akur kepada kehebatan atlet muda Ukraine Oleksandr Yarovyi yang mencatatkan 17.61m untuk berada di tempat pertama.

Malah, lontaran yang dilakukan Yarovyi itu bukan saja sukar digugat peserta lain namun turut memecah rekod dunia 17.34m yang pernah dicipta rakan sepasukannya Maksym Koval di temasya Paralimpik Tokyo 2021.

Sementara itu, pingat gangsa pula dimenangi Koval selepas mencatatkan lontaran sejauh 16.99m.

Walaupun tidak berjaya menggenggam emas di temasya kali ini namun Ziyad harus berbangga apabila mampu menghadiahkan perak untuk negara sekali gus memadam kekecewaan di Tokyo.

Mengikut rekod, Pada penganjuran yang lalu, atlet berkenaan pulang dengan tangan kosong meskipun mencatatkan rekod 17.94 m dalam pusingan akhir apabila pihak penganjur mendapati Ziyad lewat melaporkan diri ke bilik menunggu.

Hukuman dihadapinya itu menyaksikan pingat emas yang diraih ditarik semula sebelum peserta dari Ukraine, Koval diangkat sebagai pemenang.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top