May 18, 2024

Pingpong B-19, B15 cipta sejarah ungguli Kejohanan Remaja SEA 2024


SKUAD pingpong lelaki bawah-19 tahun (B-19) dan B-15 mencipta sejarah, apabila buat pertama kali mengungguli Kejohanan Pingpong Remaja Asia Tenggara (SEA) 2024 acara berpasukan, di Kompleks Sukan Wisma Majlis Olimpik Malaysia (MOM) di sini hari ini.

Dengan kemenangan itu, kedua-dua pasukan itu layak untuk membawa cabaran negara ke Kejohanan Remaja Asia 2024, yang berlangsung pada 30 Jun hingga 6 Julai di Chongqing, China.

Pada aksi final yang berlangsung di Arena Tan Sri Hamzah itu, menyaksikan skuad negara menewaskan Vietnam 3-0.

Malaysia mengutip mata pertama menerusi Lai Yong Han yang menumbangkan Nguyen Duy Phong 11-9, 11-6, 8-11, 11-4 sebelum wakil kedua negara Pang Xiang Jun, mengetepikan Tran Manh Cuong 11-7, 11-3, 11-4 untuk mata kedua negara.

Malaysia terus menyerlah menerusi Rchard Yap Rui Zhe yang mengecewakan Nguyen Hoang Lam 11-7, 11-5, 11-13, untuk mengutip mata ketiga dan sekali gus mengesahkan kejuaraan buat Malaysia.

Dalam pada itu jurulatih skuad B-19 Chai Kian Beng berkata, beliau tidak menjangkakan skuadnya mampu merangkul kejuaraan, buat kali pertama itu.

“Dengan Vitenam ini saya tak sangka boleh menang 3-0, sebab di peringkat kumpulan kita menang tipis 3-2, tapi di final ini saya beri mereka semangat untuk kekalkan momentum kemenangan.

“Lepas ini kita akan fokus untuk Kejohanan Asia Remaja di China, dan kemenangan ini menunjukkan skuad ping pong Malaysia mempunyai masa depan cerah,” katanya ketika ditemui Bernama di sini hari ini.

Sementara itu, skuad B-15 negara turut merangkul kejuaraan dengan menewaskan Thailand 3-1 pada satu lagi aksi final, di venue sama.

Perlawanan itu menyaksukan Lai Yong Ren menewaskan Nimit Soiphuang 11-4, 11-4, 0-11, 11-9, sebelum rakan senegara Lee Hong Ann, tewas kepada Thitaphat Preechayan 8-11, 8-11, 11-6, 6-11.

Malaysia bagaimanapun bangkit menerusi Tey Hong Yu, yang mengecewalan Leonard Piyachai 11-6, 11- 2, 11-3, sebelum Lee Hong Ann menutup perlawanan dengan kemenangan ke atas Nimit Soiphuang 11-8, 12-10, 11-9. – Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!



Source link

OR

Scroll to Top