Pintu sempadan Malaysia-Thailand dibuka jam 6 pagi kepada pelajar sekolah

Pintu sempadan Malaysia-Thailand dibuka jam 6 pagi kepada pelajar sekolah


Kota Bharu: Pintu sempadan Malaysia-Thailand akan dibuka seawal 6 pagi untuk pelajar yang menetap di Golok, Thailand pergi ke sekolah di Rantau Panjang mulai 1 Dis ini, kata Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat.

Beliau berkata pelajar terbabit hanya boleh melalui laluan yang diwartakan dan dilarang melalui pangkalan haram Sungai Golok untuk menyeberang ke Rantau Panjang.

“Keputusan itu dibuat dan diputuskan melalui mesyuarat bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang diadakan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di Rantau Panjang, semalam.

“Saya juga difahamkan pihak berkuasa Thailand juga bersedia untuk membuka pintu sempadan mereka seawal 6 pagi bagi memberi laluan pelajar sekolah untuk melalui ICQS,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini hari ini.

Mohd Yusoff berkata sebelum ini pintu sempadan pernah dibuka seawal 6 pagi, namun sejak wabak Covid-19 melanda negara, ia diubah kepada 7 pagi.

Beliau berkata pemantauan pihaknya mendapati pelajar sekolah yang menaiki perahu tanpa enjin menggunakan pangkalan haram sungai itu kebanyakannya tidak memakai jaket keselamatan, terlebih muatan dan perahu ditarik menggunakan tali untuk ke seberang.

Hal itu, katanya agak membimbangkan kerana pelajar terpaksa berdiri di dalam perahu dari Golok untuk menyeberang ke Rantau Panjang.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top