SKUAD berbasikal membuka pintu buat jaguh trek, Datuk Mohd Azizulhasni Awang untuk menyarung jersi negara pada kejohanan besar dan temasya sukan pada masa akan datang.
Tawaran tersebut dibuat oleh Pengarah Teknikal skuad berbasikal, John Beasley yang berkata bahawa pelumba berusia 37 tahun itu sentiasa mempunyai tempat dalam pasukan kebangsaan.
Kenyataan itu hadir susulan keputusan mengejut Azizulhasni untuk kembali ke saingan kompetitif, namun bukan bersama pasukan kebangsaan, sebaliknya bergerak secara profesional.
Malah jurulatih dari Australia itu turut menyifatkan penampilan semula pelumba dari Terengganu tersebut mampu menjadi dorongan besar buat pasukan kebangsaan termasuk Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan adiknya, Muhammad Ridwan.
“Kami telah menggalakkannya untuk terus berjuang, malah kami tidak melihat sebarang sebab mengapa dia perlu bersara. Dia sentiasa menjadi seorang atlet yang memberikan 100 peratus untuk negara.
“Dia telah berlatih dengan sangat keras selama 18 tahun dan hanya ingin berehat seketika selepas Sukan Olimpik Paris untuk mendapatkan semula kecergasan dan kekuatan mentalnya.
“Saya benar-benar tidak sabar untuk melihatnya kembali. Dia sentiasa dialu-alukan, dan dia masih mempunyai banyak sumbangan untuk diberikan, bukan sahaja sebagai atlet, tetapi juga sebagai mentor untuk membantu membangunkan Shah Firdaus dan Ridwan,” katanya.
Apabila bergelar pelumba profesional, Azizulhasni terbuka untuk menyertai pertandingan yang dianjurkan oleh Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) di atas nama Team Azizul.
Bagaimanapun bagi pertandingan besar seperti Kejohanan Dunia dan temasya termasuk Sukan Olimpik, Asia dan Komanwel beliau berpeluang menyarung jersi atas nama negara.
Kepimpinan dan kelebihan daya saing Azizulhasni, tegas Beasley, kekal sebagai aset penting kepada kem berbasikal trek Malaysia.
“Kita pasti tidak boleh menolak dia lagi. Dia memiliki kepakaran tersendiri,” katanya.
Beasley yang mula melatih Malaysia pada tahun 2006 memainkan peranan penting dalam kebangkitan Azizulhasni dari seorang remaja yang bercita-cita tinggi kepada salah seorang pelumba keirin terbaik di dunia.
Di bawah bimbingannya, Azizulhasni yang terkenal dengan julukan The Pocket Rocketman memenangi gelaran dunia 2017 dan meraih gangsa Sukan Olimpik (Rio 2016) serta perak (Tokyo 2020).
Paris 2024 merupakan penampilan terakhir Beasley sebagai ketua jurulatih sebelum melangkah ke peranannya yang kini sebagai pengarah teknikal.