aida_adilah@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) menarik nafas lega selepas Kabinet meluluskan penganjuran Tour de Langkawi (LTdL) untuk tempoh tiga tahun bermula 2026 hingga 2028.
Presidennya, Datuk Amarjit Singh Gill, menyifatkan keputusan yang diputuskan dalam mesyuarat Kabinet pada 8 April lalu sebagai kelegaan besar selepas menunggu sekian lama.
“PKBM amat gembira dengan keputusan ini. LTdL bukan sekadar perlumbaan berbasikal, tetapi ia adalah projek nasional yang membawa impak besar kepada imej dan pembangunan sukan negara di peringkat antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan anggota Kabinet khususnya Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari atas pengiktirafan terhadap kepentingan perlumbaan berprestij itu.
Menurutnya, PKBM dimaklumkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan terus menerajui penganjuran LTdL 2026 manakala Majlis Sukan Negara (MSN) kekal sebagai penganjur utama.
Amarjit memberi jaminan badan itu akan terus memberikan sokongan penuh serta bekerjasama rapat dengan semua pihak bagi memastikan kelancaran penganjuran dari 2026 hingga 2028.
Katanya, dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini sejak MSN mengambil alih penganjuran pada 2023, LTdL dianjurkan dengan baik termasuk edisi 2025 yang disifatkan sebagai satu penganjuran yang sempurna.
Sehubungan itu, PKBM akan segera mengadakan perbincangan bersama KBS dan MSN bagi memulakan persiapan termasuk memuktamadkan senarai pasukan antarabangsa, dengan kira-kira enam bulan sahaja berbaki sebelum LTdL 2026 bermula.
© New Straits Times Press (M) Bhd






