am@hmetro.com.my
Kota Bharu: Majlis Pimpinan Pusat Parti Keadilan Rakyat (PKR) memberi tempoh sehingga esok kepada Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli untuk menjawab isu beliau mengisytiharkan keluar parti.
Setiausaha Agung PKR Datuk Dr Fuziah Salleh berkata, surat berkenaan sudah dikeluarkan pada 23 Februari lalu dan bekas Timbalan Presiden PKR itu diberi tempoh masa selama lima hari untuk memberikan penjelasan rasmi berhubung hasrat sebenarnya.
Katanya, kenyataan mengenai kemungkinan bekas Menteri Ekonomi itu bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) serta bayangan untuk keluar parti boleh menimbulkan persepsi bahawa sudah wujud hasrat untuk meninggalkan parti.
“Apabila beliau menyatakan hasrat untuk bertanding pada PRU16 dan kemungkinan keluar daripada parti, ia boleh menimbulkan persepsi bahawa sudah wujud niat untuk meninggalkan parti,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas Program Walkabout Bazar Ramadan Rahmah (BBR) 2026 Zon Timur di Bazar Ramadan Mydin Mall, Tunjong, di sini, hari ini.
Fuziah menegaskan bahawa surat tunjuk sebab berkenaan bukan bertujuan menghukum, sebaliknya memberi ruang dan peluang kepada Rafizi untuk menjelaskan keadaan sebenar.
“Sebaik-baiknya perkara ini dilakukan mengikut perlembagaan parti kerana perlembagaan jelas menyebut dalam Fasal 9.1 (c) mengenai pengisytiharan anggota itu sendiri bahawa beliau keluar daripada parti,” katanya.
Beliau berkata, tempoh sehingga esok yang diberikan untuk menerima maklum balas daripada Rafizi adalah adil, selain memberi ruang sewajarnya dan mengelakkan tindakan terburu-buru tanpa sebarang penjelasan.
“Sebarang maklumat akan dikeluarkan dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Parti Pusat yang akan diadakan pada 1 Mac ini,” katanya.
Dalam temu bual eksklusif bersama media Cina tempatan, Rafizi membayangkan bahawa beliau berhasrat mempertahankan kerusi Parlimen Pandan pada PRU16 meskipun tanpa sokongan PKR dan bukan atas tiket parti itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




