PM Anwar minta rakyat bertenang, masalah minyak tak serumit negara sekeliling

PM Anwar minta rakyat bertenang, masalah minyak tak serumit negara sekeliling


Perdana Menteri, Anwar Ibrahim memberi jaminan bahawa situasi bekalan minyak negara masih terkawal dan belum berada pada tahap kritikal seperti yang dialami beberapa negara jiran susulan konflik di Asia Barat.

Bekalan cukup sekurangnya sampai Mei

Memetik laporan daripada Harian Metro, beliau menyatakan bekalan minyak Malaysia ketika ini mencukupi sekurang-kurangnya sehingga Mei, dengan pemantauan dilakukan secara berterusan bagi memastikan kestabilan berpanjangan.

“Jadi kita sedang pantau setiap hari,” katanya ditemui media selepas selesai solat Jumaat di Masjid Tengku Ampuan Jemaah di Bukit Jelutong.

Harus bersyukur dan jangan terleka

Beliau turut menjelaskan bahawa usaha PETRONAS meluaskan pelaburan di luar negara termasuk di rantau Teluk, Brazil, Suriname dan Kanada membantu menjana pulangan serta menjamin sumber bekalan untuk keperluan tempatan.

“Setakat ini Alhamdulillah, kalau sudah lihat umpamanya keadaan gawat di beberapa negara sekeliling kita, kita harus bersyukur dan jangan terlalu leka dan terlalu sibuk dalam soal politik, sebaliknya tumpu untuk membela nasib rakyat dan negara,” katanya.

Dalam masa sama, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Presiden Iran, Masoud Pezeshkian yang telah membantu melancarkan perjalanan kapal minyak Malaysia melalui Selat Hormuz.

“Hari ini saya juga ambil kesempatan mengucap terima kasih kepada Presiden Iran kerana dalam perbincangan saya semalam, dia sudah mengarahkan supaya langkah diambil segera melepaskan kapal minyak PETRONAS dan juga (dari) syarikat Malaysia,” katanya.

Artikel lain: PM Anwar akan panggil KM, MB & pemimpin politik, dengar taklimat khas ekonomi semasa

Terdahulu, kerajaan turut mengumumkan penyelarasan sementara BUDI95 dengan pengurangan kuota daripada 300 liter kepada 200 liter bermula 1 April, namun harga RON95 bersubsidi kekal pada RM1.99 seliter manakala diesel bersubsidi di Sabah, Sarawak dan Labuan kekal RM2.15 seliter.

Dalam perkembangan sama, Kementerian Kewangan memaklumkan kerajaan kini menanggung subsidi bahan api mencecah sekitar RM4 bilion sebulan susulan lonjakan harga minyak mentah global yang kini melepasi AS$100 setong akibat konflik berterusan di Asia Barat.

Sumber: Harian Metro (Mohd Nasaruddin Parzi)





Source link

OR

Scroll to Top