Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa pengundi di Negeri Sembilan agar membuat pilihan berdasarkan prestasi dan amanah seseorang calon, bukan kaum atau warna kulit, ketika turun berkempen bagi membantu calon Pakatan Harapan (HARAPAN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Chennah, Anthony Loke.
Loke membuktikan prestasi cemerlang
Menerusi kenyataan yang dikongsi beliau di media sosial, Loke telah membuktikan prestasi cemerlang sepanjang berkhidmat sebagai wakil rakyat dengan membantu masyarakat tanpa mengira latar belakang kaum.
“Saudara Anthony telah membuktikan prestasi yang baik sebagai wakil rakyat di Chennah. Beliau berkhidmat dan membantu rakyat tanpa mengira kaum, sama ada Melayu, Cina, India mahupun Orang Asli,” ujarnya.
Kesal ada yang mahu tolak hanya kerana berbangsa Cina
Anwar menyatakan masih terdapat pihak yang menolak Setiausaha Agong DAP itu semata-mata kerana beliau berbangsa Cina, walaupun prestasinya sebagai wakil rakyat telah terbukti.
Beliau turut mempersoalkan dakwaan bahawa HARAPAN dikuasai DAP dan masyarakat Cina, sedangkan pihak lawan juga mempertaruhkan calon daripada kaum yang sama.
“Namun masih ada yang mahu menolak beliau semata-mata kerana beliau seorang Cina.
“Bukan kerana beliau mencuri wang rakyat, bukan kerana merampas tanah rakyat dan bukan kerana gagal melaksanakan amanah, tetapi hanya kerana beliau seorang Cina.
“Aneh sekali kerana di pihak sebelah sana juga ada calon berbangsa Cina, namun yang dijaja kononnya HARAPAN dikuasai DAP dan orang Cina,” katanya.
Pilihlah Cina yang lebih baik
Sehubungan itu, beliau menyeru pengundi supaya memilih calon berdasarkan rekod perkhidmatan dan keupayaan mereka memberi khidmat kepada rakyat.
“Pesanan saya kepada pengundi di Negeri Sembilan, pilihlah Cina yang lebih baik.
“Pilih saudara Anthony Loke dan seluruh pasukan HARAPAN. Ukurlah seseorang berdasarkan amanah, prestasi dan khidmatnya kepada rakyat, bukan warna kulit atau bangsanya,”

Menurut Anwar, sekiranya diberi mandat sekali lagi, HARAPAN akan meneruskan prestasi sedia ada dan bekerja lebih keras demi memastikan kesejahteraan rakyat serta pembangunan Negeri Sembilan terus diperkasakan.
Sumber: Facebook Anwar Ibrahim





