PM Anwar tak hadir, pembangkang keluar dewan rakyat tak sertai sesi penerangan RCI TH

PM Anwar tak hadir, pembangkang keluar dewan rakyat tak sertai sesi penerangan RCI TH


Wakil rakyat pembangkang memilih untuk keluar dari Dewan Rakyat dan tidak mengambil bahagian dalam sesi penerangan berkaitan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji (TH), pagi ini.

Blok pembangkang minta tangguh

Menerusi laporan daripada Berita Harian, keputusan itu dibuat selepas usul pembangkang untuk menangguhkan Sidang Khas Dewan Rakyat berhubung RCI TH ditolak Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.

Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hasan memaklumkan keputusan wakil rakyat pembangkang untuk tidak menyertai sidang khas berkenaan sebelum perkara itu dipersetujui Johari.

Susulan pengumuman tersebut, Ahli-ahli Parlimen PN dilihat bangkit dari tempat duduk masing-masing sebelum beredar keluar dari Dewan Rakyat secara bersama.

Terdahulu, Takiyuddin bangun membangkitkan Peraturan Mesyuarat 13 bagi meminta supaya sidang khas RCI TH ditangguhkan.

Beliau memberikan alasan bahawa sidang khas berkenaan tidak dihadiri Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Walau bagaimanapun, Johari memutuskan sidang khas itu tetap diteruskan seperti yang dijadualkan hari ini, dengan sesi penerangan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan.

Sebelum ini, Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah memaklumkan bahawa Anwar memohon maaf kerana tidak dapat bersama dalam sidang khas berkenaan.

Perdana Menteri kini sedang menjalani rawatan oleh pasukan pakar perubatan dan dijangka berada di bawah pemantauan selama dua hari.

Semalam, Ketua Pasukan Perubatan kepada Perdana Menteri, Datuk Dr Asri Ranga Abdullah Ramaiah berkata, Anwar selamat menjalani prosedur pembedahan laparoskopi secara elektif bagi merawat hernia perut (para-umbilical hernia).

Sumber: Berita Harian (Zanariah Abd Mutalib, Latifah Ariffin dan Mohd Nasaruddin Parzi)





Source link

OR

Scroll to Top