Barisan Jemaah Menteri ketika ini melaksanakan tanggungjawab dengan penuh integriti serta memenuhi komitmen berdasarkan petunjuk prestasi utama (KPI) yang ditetapkan setiap kementerian, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Jalankan tugas dengan penuh integriti
Memetik laporan daripada Harian Metro, kerajaan pada masa sama tidak akan berkompromi sekiranya berlaku sebarang pelanggaran integriti dalam pentadbiran.
“Kerajaan percaya akauntabiliti bukan sekadar soal hukuman, tetapi juga soal pembetulan, penambahbaikan berterusan dan tanggungjawab moral kepada rakyat.
“Justeru, budaya prestasi tinggi dan integriti akan terus diperkukuh bagi memastikan setiap kementerian benar-benar berfungsi secara efektif, cekap dan beramanah,” katanya dalam jawapan bertulis Parlimen.

Laksana tanggungjawab dengan penuh integriti serta penuhi komitmen
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Shahidan Kasim (PN-Arau) berhubung komitmen Perdana Menteri terhadap prinsip akauntabiliti Kabinet serta sama ada kegagalan prestasi kementerian akan disusuli tindakan tegas termasuk peletakan jawatan menteri selaras dengan amalan tadbir urus baik.

Mengulas aspek tadbir urus dan integriti, Anwar berkata kerajaan terus memperkukuh pelaksanaan Pelan Antirasuah Nasional (NACP), memperkasa Jabatan Audit Negara serta mengukuhkan Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Antirasuah.
“Setiap kementerian dikehendaki menetapkan KPI yang jelas, terukur dan sejajar dengan Dasar Malaysia MADANI serta Rancangan Malaysia Ke-12.
“Pencapaian dinilai secara berkala dan dipantau oleh agensi berkaitan seperti Unit Pantau MADANI dan Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU),” katanya.

Artikel lain: Tiada masa berbulan madu! Beri Kabinet baharu Kerajaan MADANI 100 hari buktikan prestasi – Puad
Beliau turut menegaskan bahawa kerajaan MADANI komited sepenuhnya terhadap prinsip akauntabiliti Ahli Jemaah Menteri selaras dengan Perlembagaan Persekutuan, prinsip tanggungjawab bersama serta kebertanggungjawaban individu kepada Parlimen dan rakyat.






