Ipoh: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menyalurkan sumbangan kepada 19 ketua isi rumah mangsa yang terkesan akibat banjir kilat yang melanda empat kampung di kawasan Parlimen Tambun.
Sumbangan itu disampaikan menerusi Ahli Dewan Undangan Negeri Hulu Kinta Muhamad Arafat Varisai Mahamad dan Pegawai Khas Pejabat Ahli Parlimen Tambun Mohamad Hairul Amir Sabri.
Hujan lebat berterusan pada 1 Disember lalu menyaksikan Kampung Cheh, Kampung North Ward, Kampung Masjid dan Kampung Bakar Bata terjejas akibat banjir kilat.
Mohamad Hairul Amir berkata bantuan itu dihulur oleh Perdana Menteri bagi meringankan beban yang ditanggung oleh mereka yang terkesan akibat bencana tersebut.
“Apabila berlakunya banjir pada hari berkenaan, beliau telah meminta saya dan pihak Pejabat Parlimen Tambun turun menyampaikan bantuan awal kepada mangsa yang terjejas,” katanya kepada pemberita di sini.
Beliau berkata setiap ketua isi rumah menerima RM1,000.
© New Straits Times Press (M) Bhd