SUKAN Olimpik Los Angeles 2028 dilihat sebagai peluang terbaik buat kontinjen negara untuk menamatkan penantian pingat emas pertama Malaysia dalam temasya sukan paling berprestij itu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjangkakan sasaran tersebut mampu dicapai hasil pelbagai bentuk sokongan dan bantuan yang telah disalurkan oleh kerajaan.
Malah, beliau secara berseloroh namun bermakna menyandarkan impian itu untuk digalas oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, serta Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria.
“Saya rasa kerajaan melalui Kementerian Belia dan Sukan amat proaktif dan sangat menyokong. Anda semua ada menteri yang bagus dan selalu ‘ganggu’ saya minta lebih banyak dana.
“Semua orang sedang menunggu. Di bawah Hannah dan Norza, kita mengharapkan sekurang-kurangnya satu pingat emas untuk Sukan Olimpik. Jika tidak, mereka akan menghadapi masalah,” katanya berseloroh ketika berucap pada majlis pecah tanah Olympic House di Bukit Jalil pada Khamis.
Sebagai rekod, pelbagai sokongan serta bantuan telah disalurkan termasuk peruntukan sebanyak RM13.283 juta melalui program Road to Gold (RTG) sejak tahun 2023.
Kontinjen Malaysia pulang dari Sukan Olimpik Paris 2024 dengan membawa dua pingat gangsa.
Bagi merealisasikan impian emas tersebut, Anwar menegaskan bahawa pembangunan bakat di peringkat akar umbi perlu diberi keutamaan.
Malah, beliau mendedahkan telah berbincang dengan Hannah untuk meneliti dan meningkatkan kualiti serta kemudahan di sekolah-sekolah sukan seluruh negara.
“Saya telah berbincang dengan menteri untuk melihat sekali lagi tentang sekolah sukan. Apa sahaja yang perlu, kita akan bantu. Pastikan mutu ditingkatkan dan kemudahan diberikan,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Perdana Menteri turut mengingatkan pemaju Olympic House, Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB), untuk menyiapkan projek tersebut lebih awal daripada jadual yang ditetapkan, kerana ia menjadi simbol penting masa depan sukan negara.
“MRCB perlu ingat, siapkan bukan mengikut jadual, tetapi lebih awal daripada jadual,” tegasnya.
Olympic House akan dibina di atas tanah seluas 2.1 hektar dengan keluasan lantai kasar berjumlah 140,973 kaki persegi.
Ibu pejabat baharu MOM yang akan terletak di Bandar Sukan Kuala Lumpur (KLSC), Bukit Jalil, itu bakal menghimpunkan 58 persatuan sukan kebangsaan di bawah satu bumbung, sekali gus memperkukuh kerjasama dan meningkatkan tadbir urus dalam pengurusan sukan negara.