PM kagum dengar pengalaman wira negara di Sukan Olimpik Paralimpik

PM kagum dengar pengalaman wira negara di Sukan Olimpik Paralimpik


KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menerima kunjungan hormat daripada tujuh wira negara yang beraksi di temasya Sukan Olimpik dan Paralimpik Paris 2024, baru-baru ini.

Tujuh atlet yang hadir bertemu Anwar di pejabatnya di Parlimen adalah Lee Zi Jia, Aaron Chia, Soh Wooi Yik, Cheah Liek Hou, Bonnie Bunyau Anak Gustin, Muhammad Ziyad Zolkefli dan Eddy Bernard.

“Saya berbangga dengan pencapaian hebat ini dan terkesan mendengar pengalaman mereka yang bermula di bangku sekolah dan gigih berusaha memecahkan tembok-tembok halangan untuk bergelar atlet bertaraf dunia serta menyatukan rakyat Malaysia dengan kejayaan kalian.

“Saya juga kagum mendengar perkongsian pengalaman saudara Wooi Yik (pemain beregu lelaki negara)  yang sanggup menahan sakit akibat jari kakinya retak dan membengkak selama 74 minit sepanjang perlawanan penentuan pingat gangsa di Paris. Terima kasih atas kekentalan jiwa dan pengorbanan ini demi memastikan bendera Malaysia berkibar di Paris,” tulisnya di media sosial.

Ujarnya, kerajaan beriltizam memperhebatkan pembangunan sukan negara menerusi peruntukan lebih RM230 juta yang diumumkannya melalui Belanjawan 2025, baru-baru ii.

“Peruntukan ini antaranya untuk program podium, latihan atlet dan Road to Gold; persiapan atlet para menjelang sukan para dunia termasuk Deaflympic Tokyo 2025; kerja-kerja menyelenggara dan membaiki kemudahan belia dan sukan seluruh negara; serta geran padanan sukan sebagai galakan penganjuran pertandingan sukan oleh persatuan dan NGO (badan bukan kerajaan,” tambahnya.

Sebagai rekod, kerajaan pada Belanjawan 2024 memperuntukkan RM72 juta bagi menambah baik dan memperkukuhkan ekosistem atlet bagi Program Podium terma­suk RM20 juta pelaksanaan Road to Gold (RTG) serta RM12 juta diperuntukkan untuk atlet para.-MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top