PM ketuai delegasi ke AELM di Peru

PM ketuai delegasi ke AELM di Peru


KUALA LUMPUR- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan  memimpin delegasi Malaysia ke Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC (AELM) ke-31 yang akan berlangsung di Lima, Peru, dari 14 hingga 16 November ini.

Delegasi berkenaan akan turut disertai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri,  Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Aziz, dan Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Utama Haji Mohamad Hasan.

“Penyertaan peringkat tertinggi ini mencerminkan komitmen Malaysia untuk terlibat secara aktif dan konstruktif dalam kerangka APEC, sekali gus menegaskan komitmen negara dalam memperkukuh daya tahan ekonomi, pertumbuhan mampan, dan kemakmuran inklusif,” kata Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dalam satu kenyataan hari ini.

Bertemakan “Empower. Include. Grow.”, mesyuarat tersebut akan menghimpunkan pemimpin-pemimpin APEC untuk memperkukuh pertumbuhan mampan dan pembangunan inklusif di rantau Asia Pasifik.

Tambah kenyataan itu, Perdana Menteri  juga  akan mengetuai delegasi Malaysia ke Persidangan CEO APEC 2024, bersama wakil-wakil pengurusan tertinggi daripada 17 syarikat korporat terkemuka negara.

Semasa sidang kemuncak tersebut, Anwar akan berkongsi pendekatan strategik Malaysia terhadap revolusi AI, termasuk memanfaatkan AI bagi pertumbuhan ekonomi dan produktiviti serta menekankan komitmen Malaysia terhadap inovasi, peningkatan  kemahiran digital, dan tadbir urus untuk memastikan aplikasi AI secara beretika dengan manfaat yang merangkumi semua lapisan masyarakat.

Bagi mempertingkatkan penglibatan delegasi perniagaan, satu mesyuarat meja bulat bersama pemimpin industri utama dari Peru juga telah dijadualkan, menyediakan platform bagi pertukaran bermakna dan potensi kerjasama B2B.

Sempena lawatan rasmi ke Lima, Perdana Menteri turut dijadualkan mengadakan pertemuan dua hala dengan beberapa rakan sejawat untuk memperkukuh hubungan diplomatik Malaysia.

Ia juga bagi meneroka peluang integrasi ekonomi yang lebih mendalam dalam APEC, serta membincangkan bagaimana perdagangan dan pelaburan dapat membantu mengurangkan kesan cabaran geopolitik dan geoekonomi semasa. -MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL



Source link

OR

Scroll to Top