KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengetuai detik kiraan ambang Tahun Baharu 2026 dan merasmikan pelancaran Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026) pada Visit Malaysia 2026 Countdown Festival, malam tadi.
Acara yang berlangsung meriah itu turut dihadiri Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing bersama ribuan pengunjung tempatan serta pelancong antarabangsa yang memenuhi kawasan tumpuan pelancongan tersebut.
Kemuncak sambutan menyaksikan persembahan multimedia berskala besar merangkumi pertunjukan bunga api pyromusikal, formasi dron, pancaran laser dan paparan 3D anamorfik yang menampilkan maskot rasmi TMM2026, Wira dan Manja, sekali gus menghangatkan suasana malam perayaan itu.
Sementara itu, Tiong berkata, penganjuran tersebut menjadi pemula penting kepada kempen TMM2026 yang bakal mengangkat Malaysia ke perhatian dunia.
“Malaysia kini bersedia sepenuhnya menampilkan budaya, kreativiti dan keramahan rakyatnya dengan sasaran ketibaan 43 juta pelancong antarabangsa,” katanya dalam kenyataan.
Seiring dengan pelancaran itu, festival berkenaan turut menampilkan persembahan artis popular antaranya Shila Amzah, Aina Abdul, Belle Sisoski dan beberapa nama lain selain persembahan kebudayaan yang menggabungkan elemen tradisional dan moden bagi memeriahkan sambutan.
Program TMM2026 Countdown Festival bermula sejak 26 Disember lalu melalui penganjuran pelbagai aktiviti sampingan termasuk bazar, pameran seni dan budaya, aktiviti kraf interaktif serta festival makanan yang berlangsung di sekitar Lembah Klang.
Kempen TMM2026 digerakkan berasaskan lima tonggak utama iaitu kelestarian, warisan budaya, pengembaraan alam semula jadi, inovasi digital dan keterhubungan global dalam memastikan Malaysia berada dalam kesiapsiagaan terbaik menyambut kedatangan pelancong.
Penganjuran festival ini mendapat sokongan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Tourism Malaysia serta pelbagai agensi seni dan budaya negara yang berganding bahu menjayakan usaha mempromosi Malaysia di pentas antarabangsa. – UTUSAN






