PM teruskan tradisi 'beraya' di lapan negeri

PM teruskan tradisi 'beraya' di lapan negeri



fahmy.azril@bh.com.my

Kuala Lumpur: Datuk Seri Anwar Ibrahim akan meneruskan tradisi Majlis Sambutan Aidilfitri Madani pada tahun ini, dengan meraikan hari lebaran bersama rakyat di lapan negeri.

Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah, yang mengumumkan perkara itu berkata, Perdana Menteri akan memulakan kunjungan bagi menyambut hari lebaran di Melaka terlebih dahulu.

“Untuk tahun ini, Perdana Menteri akan berkunjung ke lapan negeri bermula dengan Melaka yang juga diangkat sebagai penganjuran peringkat kebangsaan pada 5 April, diikuti Selangor (6 April), Pahang (11 April), Kelantan dan Pulau Pinang (12 April), Sarawak (19 April), Perak (25 April) serta Perlis (27 April).

“Perincian lanjut mengenai lokasi akan dimaklumkan oleh Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU), Jabatan Perdana Menteri, selaku sekretariat induk Majlis Sambutan Aidilfitri Madani 2025,” katanya pada Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri (PMO) yang disiarkan melalui Facebook PMO Malaysia, hari ini.

Seperti tahun lalu, Tunku Nashrul berkata, Majlis Sambutan Aidilfitri Madani akan dianjurkan dan diselaraskan antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri sebagai tuan rumah.

Justeru, beliau memanjangkan jemputan bagi pihak Perdana Menteri agar rakyat pelbagai kaum, agama dan budaya hadir bersama bagi menyemarakkan nilai murni, kasih sayang, hormat-menghormati serta muhibah yang menjadi tunjang kekuatan Malaysia sejak sekian lama.

“Insya-Allah, Perdana Menteri akan hadir bersama dengan Menteri Besar dan Ketua Menteri negeri-negeri berkenaan.

“Majlis ini juga adalah wadah penting untuk kita meredakan suhu ketegangan antara kaum dan agama serta menghormati dan meraikan perbezaan menerusi interaksi antara rakyat,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top