PM Thailand Paetongtarn isytihar aset bernilai 13.9 bilion baht

PM Thailand Paetongtarn isytihar aset bernilai 13.9 bilion baht


Bangkok: Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra, dan suaminya dilaporkan memiliki kekayaan bersama sebanyak 13.9 bilion baht (kira-kira RM1.81 bilion) serta hutang berjumlah 4.4 bilion baht (kira-kira RM572 juta), menurut pendedahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Kebangsaan (NACC).

Akhbar harian Inggeris terkemuka Thailand, Bangkok Post, melaporkan pada Jumaat bahawa pendedahan aset dan liabiliti oleh NACC dibuat susulan pelantikan Paetongtarn sebagai Perdana Menteri ke-31 pada 6 September tahun lalu.

Laporan itu turut menyatakan beliau memiliki dua rumah di London dan dua lot tanah di wilayah Hokkaido, Jepun.

Menurut laporan, jumlah aset pasangan itu ialah 13.99 bilion baht (kira-kira RM1.82 bilion), dengan nilai aset Paetongtarn sebanyak 13.84 bilion baht (kira-kira RM1.81 bilion) dan aset suaminya, Pitaka Suksawat, berjumlah 141.11 juta baht (kira-kira RM18.34 juta).

Anak-anak mereka pula memiliki aset bernilai 500,000 baht (kira-kira RM65,000).

Bagi jumlah hutang, pasangan itu mencatatkan 4.44 bilion baht (kira-kira RM572 juta).

Pendedahan itu turut menunjukkan yang Paetongtarn melaporkan pendapatan tahunan sebanyak 265 juta baht (kira-kira RM34.6 juta). Ia termasuk gaji sebanyak 3.4 juta baht (kira-kira RM444,000), dividen 259.26 juta baht (kira-kira RM33.84 juta), faedah dua juta baht (kira-kira RM261,000) dan sewa 890,000 baht (kira-kira RM116,000).

Laporan itu juga menyenaraikan pegangan hartanah beliau, termasuk 12 lot tanah dengan tiga di wilayah Pathum Thani bernilai 9.9 juta baht (kira-kira RM1.29 juta), dan dua lot di Hokkaido yang dibeli pada 15 Disember 2019 dengan harga 15 juta baht (kira-kira RM1.96 juta) setiap satu.

Beliau turut memiliki dua hartanah sewa di London, satu bernilai 111.61 juta baht (kira-kira RM14.5 juta) dan satu lagi 208.34 juta baht (kira-kira RM27.18 juta) serta lima unit kondominium di Bangkok, dua rumah di Nonthaburi dan Bangkok serta bangunan komersial di Phetchaburi.

Pada usia 38 tahun, Paetongtarn adalah perdana menteri termuda Thailand. Beliau adalah anak bongsu kepada Thaksin dan anak saudara kepada bekas Perdana Menteri Yingluck Shinawatra.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top