USAI Kongres Nasional Tahunan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengambil kesempatan untuk bertemu skuad Harimau Malaya yang sedang menjalani latihan di Johor Bahru.
Menerusi hantaran di Facebook hari ini, Anwar menitipkan kata-kata semangat kepada skuad kebangsaan itu yang bakal berdepan perlawanan penting dalam pusingan kelayakan akhir Piala Asia 2027 menentang Vietnam, bulan depan.
“Seluruh rakyat Malaysia akan berdiri teguh di belakang kalian, memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi,” katanya ringkas.
Pada bulan lalu, pengendali Harimau Malaya, Peter Cklamovski, menyatakan keyakinan bahawa pasukannya mempunyai keupayaan untuk menewaskan skuad Naga Emas dalam perlawanan penting Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027 yang dijadual berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 10 Jun ini.
Untuk rekod, Malaysia tewas dalam lima pertemuan terakhir menentang Vietnam dalam semua kejohanan, termasuk kekalahan 3-0 dalam aksi peringkat kumpulan Piala ASEAN 2022 (dahulu dikenali sebagai Piala AFF). – Bernama
OR