Kuala Lumpur: Sumbangan daripada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia disasar mencecah RM1 trilion menjelang 2030, kata Ketua Pegawai Eksekutif SME Corporation Malaysia (SME Corp) Rizal Nainy.
Beliau berkata, sasaran itu dapat dicapai sekiranya usaha pemerkasaan sektor itu digandakan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Jelas Rizal, PMKS menyumbang sebanyak RM652.4 bilion kepada KDNK pada 2024, meningkat daripada RM616.6 bilion pada 2023.
“Peningkatan tahunan sekitar RM36 bilion ke RM40 bilion ini boleh membawa kepada tambahan RM200 bilion dalam tempoh lima tahun jika kita teruskan usaha seperti sekarang. Tetapi jika kita menggandakan usaha, peningkatan tahunan boleh mencecah RM80 bilion, menjadikan tambahan keseluruhan RM400 bilion dalam tempoh lima tahun.
“Bila dicampur dengan asas sedia ada RM652.4 bilion, kita boleh capai RM1 trilion,” katanya kepada Bernama selepas menghadiri sidang media mengenai prestasi PMKS 2024, disini hari ini.
Bagaimanapun, beliau mengakui sasaran itu menuntut pelaksanaan bersepadu dan strategi penskalaan menyeluruh dalam kalangan PMKS terutamanya dalam memacu perubahan daripada mikro kepada kecil, kecil kepada sederhana dan seterusnya kepada syarikat berskala besar.
“Memang mudah untuk dirancang, tetapi pelaksanaannya mencabar. Namun, inisiatif yang lebih bersifat perubahan akan menjadi tumpuan utama kami dalam RMK13,” katanya.
Rizal berkata, selain program pembangunan kapasiti dan geran seperti SME Go Global dan Galakan Eksport Bumiputera, SME Corp juga giat menjalankan program padanan perniagaan serta menganjurkan ekspo antarabangsa seperti SME Venture ASEAN 2025.
Katanya, ekspo yang dijadual berlangsung pada 16 hingga 18 Oktober ini itu dijangka menghimpunkan lebih 300 PMKS tempatan yang bersedia mengeksport produk ke rantau ASEAN dan seterusnya ke pasaran global.
“Kita akan tampilkan syarikat PMKS dalam segmen pembuatan bernilai tinggi seperti peranti perubatan, elektrikal dan elektronik serta makanan dan minuman halal, kosmetik, pelancongan dan pertanian pintar,” katanya.
Beliau turut berkata peningkatan penglibatan PMKS dalam penyenaraian awam juga akan menjadi antara pemacu utama untuk mengukuhkan nilai dan daya saing sektor tersebut dalam landskap ekonomi masa depan.
PMKS terus mengukuhkan kedudukan sebagai pemain utama dalam ekonomi Malaysia dengan menyumbang sebanyak RM652.4 bilion pada 2024.
Statistik rasmi oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan PMKS berkembang sebanyak 5.8 peratus pada 2024, kekal mengatasi prestasi ekonomi negara yang berkembang sekitar 5.1 peratus dan bukan PMKS pada kadar 4.7 peratus.
© New Straits Times Press (M) Bhd