PMKS raih untung terhad: Samenta

PMKS raih untung terhad: Samenta


KEBANYAKAN perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di negara ini terus menghadapi keuntungan terhad disebabkan oleh peralihan digital, kekurangan tenaga kerja dan peningkatan kos pematuhan.

Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta) Datuk William Ng berkata hal ini berikutan penemuan daripada pelbagai tinjauan dan penglibatannya dengan PMKS sejak awal tahun ini.

“Kami bimbang kerajaan mungkin beranggapan PMKS semestinya menunjukan prestasi yang baik berikutan kenaikan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan pengukuhan ringgit. Hakikatnya, banyak PMKS terkesan teruk oleh peningkatan kos perniagaan menyebabkan keuntungan terhad dan keberuntungan yang rendah.

“Bertentangan dengan kepercayaan itu, banyak PMKS terjejas teruk oleh kos tambahan untuk menjalankan perniagaan dan sedang mempertimbangkan peningkatan harga jualan yang tinggi,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, cabaran keuntungan terhad diburukkan lagi dengan peningkatan kos pematuhan yang disebabkan antaranya oleh mandat e-invois yang akan datang selain pematuhan kepada piawaian pelaporan alam sekitar, sosial serta tadbir urus (ESG).

“Pada masa yang sama, pelbagai agensi kerajaan dan pihak berkuasa tempatan menaikkan cukai taksiran dan caj perkhidmatan mereka kepada perniagaan antara 15 hingga 250 peratus. Banyak PMKS semakin terdesak, tetapi tidak tahu di mana dan bagaimana untuk mendapatkan bantuan,” katanya.

Ng berharap kerajaan mengambil berat berhubung isu ini dan akan mempertimbangkan untuk mengelak daripada memperkenalkan sebarang cukai baharu atau tambahan dalam Belanjawan 2025 yang boleh memberi kesan kepada daya saing PMKS.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top