Dana Perikatan Nasional (PN) khususnya sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) akan terus diperoleh melalui sumbangan ahli parti gabungan tersebut, mengikut pendekatan yang sekian lama diamalkan oleh PAS.
Menurut laporan Utusan, bendahari baharu PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, kaedah itu terbukti menjadi antara kekuatan PAS sebelum ini sehingga parti berkenaan berjaya meraih banyak kerusi dalam pilihan raya, termasuk di beberapa negeri.
“Kita akan menggunakan konsep derma lagilah, macam mana PAS hidup macam itulah PN hidup. Jangan dok harap bendahari cari duit berkajang-kajang untuk semua, tak adalah.
“Kita tidak akan pakai sistem itu, sistem yang merosakkan negara ini ialah apabila parti curi duit kerajaan dan belanja untuk politik,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman di Alor Setar, pada Rabu.
Foto arkib: Bernama
Bekas Ketua Pengarah Pilihan Raya PN itu berkata demikian ketika mengulas pelantikannya sebagai Bendahari PN susulan rombakan kepimpinan baharu gabungan berkenaan baru-baru ini.
Muhammad Sanusi yang masih memegang jawatan Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS berkata, sumber utama dana parti sepatutnya digerakkan melalui sumbangan ahli yang dikumpulkan secara berterusan sehingga menjelang pilihan raya umum nanti.
“Semua duit itu sebenarnya datang daripada ahli, ada dalam poket ahli. Jadi dana itu terkumpul dengan sendiri, maka mailah derma dekat PN sorang sikit rakan-rakan kita.
“Kita nak menguruskan kewangan dengan kaedah lebih baik, duit parti ini adalah duit daripada orang ramai dan selama saya mengepalai jentera pilihan raya saya dapat urus dengan baik walaupun dalam keadaan serba kekurangan, jentera pilihan raya dapat bergerak dalam dana yang sangat terhad,” ujarnya.
Foto arkib: Facebook
Menteri Besar Kedah itu menambah, PN akan mengaplikasikan pendekatan yang lebih sofistikated berbanding kaedah PAS sebelum ini memandangkan kos sebenar pilihan raya dijangka jauh melebihi anggaran terdahulu.
Katanya, walaupun perbelanjaan tinggi, banyak kos dapat dijimatkan kerana kerja-kerja dijalankan secara sukarela oleh ahli, berbeza jika terpaksa mengupah pihak luar termasuk kontraktor untuk menyiapkan tugasan tertentu.
Selain itu, Muhammad Sanusi menegaskan bahawa amalan bergantung kepada dana kerajaan untuk membiayai parti politik perlu dihentikan bagi memastikan landskap politik lebih bersih.
Sumber: Utusan (Jamliah Abdullah)





